BEIJING, 2 MEI – Menteri luar China menggesa kestabilan dan tindakan keras terhadap aktiviti jenayah rentas sempadan di sepanjang sempadan negara itu dengan Myanmar, semasa lawatan luar biasa ke wilayah yang tidak menentu itu hari ini.
Sempadan sepanjang 2,129 kilometer merentasi pergunungan berhutan tebal dan telah lama terkenal dengan penyeludupan dadah ke China dari wilayah ‘Segi Tiga Emas’ di mana sempadan Laos, Myanmar dan Thailand bertemu.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata pengeluaran candu di Myanmar telah berkembang pesat sejak tentera merampas kuasa pada 2021, dengan penanaman candu meningkat satu pertiga pada tahun lalu apabila usaha pembasmian telah menurun dan ekonomi yang goyah telah menyebabkan lebih ramai orang ke arah perdagangan dadah.
Semasa lawatannya, Menteri Luar Qin Gang berkata Parti Komunis tempatan dan jabatan kerajaan, Tentera Pembebasan Rakyat, polis dan badan awam harus bergabung dalam menguatkan sistem pertahanan sempadan.
Pertempuran antara tentera Myanmar dan kumpulan bersenjata etnik juga kadangkala berlaku di sepanjang sempadan, menghantar pelarian dan kadangkala tembakan mortar ke China.
China telah berusaha untuk mengekal-kan hubungan dengan semua pihak, walaupun ia telah dikritik kerana menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada junta selepas ia berkata ia akan menyokong Myanmar ‘tidak kira bagaimana keadaan berubah’.
Myanmar telah dilanda keganasan sejak tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih Aung San Suu Kyi. Rampasan kuasa itu mendapat tentangan besar-besaran daripada awam, yang dibalas oleh pasukan keselamatan dengan kekerasan maut, seterusnya mencetuskan tentangan bersenjata yang meluas. – AP