MOMBASA, KENYA, 6 JAN – Menteri Luar China, Wang Yi akan melawat projek infrastruktur yang dibiayai Beijing di Kenya dan membincangkan peluang ekonomi masa depan dengan presiden Uhuru Kenyatta semasa lawatan hari ini ke negara Afrika Timur itu.
Wang tiba di bandar pelabuhan Lautan Hindi Mombasa kelmarin dari Eritrea, sebuah negara tertutup yang menjadi persinggahan pertama dalam lawatan tiga negara ke Afrika.
Kunjungannya dibuat selepas lawatan ke Afrika oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pada November lalu yang sebahagiannya bertujuan untuk menentang pengaruh China yang semakin meningkat di benua itu.
China ialah rakan dagangan terbesar Afrika dengan perdagangan langsung bernilai lebih AS$200 bilion pada 2019, menurut angka rasmi China.
Tetapi ia sering dituduh menggunakan status pemiutangnya untuk mengeluarkan konsesi diplomatik dan komersial.
China ialah pemberi pinjaman kedua terbesar Kenya selepas Bank Dunia dan telah membiayai beberapa projek infrastruktur yang mahal yang menimbulkan kebimbangan mengenai Nairobi mengambil lebih banyak hutang daripada yang mampu. – AFP
