WASHINGTON, 29 NOV – Menteri-menteri luar dari negara Kumpulan Tujuh (G7) menyuarakan sokongan mereka supaya gencatan senjata di Gaza dilanjutkan dengan menekankan pentingnya orang awam dilindungi.
Dalam satu kenyataan bersama menteri-menteri luar G7 itu berkata segala usaha mesti dilakukan untuk memastikan bantuan kemanusiaan, termasuk makanan, air, bahan api dan bekalan perubatan sampai kepada orang awam, lapor agensi Anadolu.
“Kami menyokong gencatan itu dilanjutkan untuk membolehkan bantuan dipertingkat selain memudahkan pembebasan semua tahanan,” menurut kenyataan oleh Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom serta Amerika Syarikat dan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell.
Sambil menekankan mengenai pentingnya untuk melindungi orang awam dan pematuhan undang-undang antarabangsa, menteri-menteri luar G7 itu berkata, “Kami tetap teguh dalam komitmen untuk bekerjasama dengan semua rakan kongsi di rantau ini untuk mengelak konflik daripada terus meningkat.”
Mereka juga menyatakan komitmen kepada penyelesaian dua buah negara dalam konflik Israel-Palestin. – Bernama


