MANILA, 10 JAN – Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya dijadualkan mengadakan lawatan rasmi ke Filipina pada 14 hingga 15 Januari untuk mengukuhkan perkongsian strategik antara kedua-dua negara yang menghadapi kesukaran mengenai persekitaran keselamatan yang semakin kompleks, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Filipina.
Filipina dan Jepun adalah sekutu lama Amerika Syarikat (AS), yang kini memperkukuh hubungan perikatan dari Canberra hingga Tokyo dalam usaha menghadapi pengaruh ketenteraan dan geopolitik China di rantau itu.
Iwaya dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Filipina, Enrique Manalo, untuk membincangkan pelbagai isu termasuk kerjasama politik, pertahanan, keselamatan, ekonomi, pembangunan dan isu-isu lain yang menjadi kepentingan bersama.
“Dalam persekitaran keselamatan yang semakin kompleks, kedua-dua pihak dijangka mengukuhkan komitmen bersama untuk memperluas ‘Perkongsian Strategik yang Diperkukuh’ serta merebut peluang baharu untuk kerjasama,” menurut kenyataan itu.
Pada Julai 2024, kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Akses Timbal Balik, satu pakatan yang membolehkan kedua-dua negara menempatkan tentera di wilayah masing-masing.
Jepun juga telah membangunkan kapal terbaharu dan terbesar untuk Pengawal Pantai Filipina, yang menjadi elemen penting dalam usaha Manila untuk mempertahankan kedaulatannya di Laut China Selatan.
Disember lalu, Tokyo meluluskan bantuan bernilai 1.6 bilion yen (AS$10.6 juta) kepada Manila melalui Program Bantuan Keselamatan Rasmi mereka, yang dilancarkan pada 2023, untuk meningkatkan keupayaan angkatan laut Filipina. – AFP