SEPANG, 23 OKT – Menteri Luar Laos Thongsavanh Phomvihane merupakan antara delegasi negara anggota ASEAN terawal tiba di Malaysia menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Beliau bersama isterinya, Vadsana Phomvihane, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira 8:25 malam, hari ini.
Terdahulu, timbalannya, Phongsavanh Sisoulath, tiba pada pukul 7:50 malam tadi.
Antara ketibaan awal lain ialah Setiausaha Negara Kemboja, Kung Phoak yang tiba pada pukul 2 petang semalam, serta Timbalan Setiausaha Agung bagi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Satvinder Singh, pada pukul 7:45 malam tadi.
Timbalan Menteri Hal Ehwal ASEAN Timor-Leste, Milena Rangel tiba pada pukul 7:35 malam, manakala Setiausaha Tetap Brunei, Johariah Wahab tiba pada pukul 8:25 malam, hari yang sama.
Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober.
Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin daripada 10 negara anggota ASEAN bersama rakan dialog utama seperti Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan India. – Bernama


