KUALA LUMPUR, 20 DIS – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan kini berada di Bangkok, Thailand bagi menghadiri sesi Perundingan Tidak Rasmi Troika ASEAN dan Perundingan Tidak Rasmi Lanjutan.
Mekanisme Troika ASEAN yang ditubuhkan pada 2023 oleh para pemimpin ASEAN, terdiri daripada Pengerusi ASEAN semasa, terdahulu dan akan datang bagi memastikan kesinambungan dalam menangani krisis di Myanmar.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Troika kini termasuk Indonesia, Laos dan Malaysia.
Perundingan tidak rasmi itu memberi tumpuan kepada pengukuhan penyelarasan dan kerjasama dalam kalangan ahli Troika dalam melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) serta Kajian dan Keputusan Pemimpin ASEAN mengenai 5PC untuk mencari penyelesaian damai dan mampan di Myanmar.
Perundingan Tidak Rasmi Lanjutan yang disertai oleh Menteri Luar ASEAN dan wakil dari Negara Anggota ASEAN (AMS) lain, membincangkan usaha keseluruhan ASEAN dan hala tuju pelaksanaan 5PC bagi menangani krisis di Myanmar.
Malaysia turut membentangkan pendekatan yang akan diambil untuk menangani konflik Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN yang akan datang pada 2025 semasa perundingan itu.
Dipengerusikan oleh Laos selaku Pengerusi ASEAN semasa, sesi itu menekankan peranan penting ASEAN dalam menangani krisis Myanmar serta komitmennya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau, menurut Wisma Putra. – Bernama