PARIS, 22 JULAI – Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, hari ini menyeru agar Israel membenarkan wartawan antarabangsa memasuki wilayah Palestin Gaza yang dikepung, bagi ‘menyaksikan sendiri’ keadaan selepas konflik berterusan selama 21 bulan.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai pertubuhan hak asasi manusia sebelum ini memberi amaran lebih dua juta penduduk Gaza kini menghadapi kebuluran, dengan kematian berlaku hampir setiap hari ketika beratur untuk mendapatkan bantuan makanan.
“Saya menyeru supaya wartawan sambilan dan media bebas diberi akses ke Gaza, bagi menyaksikan apa yang sedang berlaku dan menjadi saksi,” kata Barrot dalam wawancara bersama radio France Inter.
Barrot menyuarakan perkara itu selepas agensi berita AFP menyatakan kebimbangan terhadap ‘situasi amat membimbangkan yang dihadapi kakitangannya di Gaza’ dan memberi amaran nyawa wartawan sambilan mereka kini dalam bahaya, sambil menggesa Israel membenarkan mereka dan ahli keluarga keluar dari wilayah pesisir yang diduduki itu.
Apabila ditanya sama ada Perancis akan membantu membawa keluar wartawan-wartawan tersebut dari Gaza, Barrot menjelaskan bahawa isu itu sedang ditangani dan beliau berharap Perancis dapat memulakan pemindahan beberapa wartawan dalam beberapa minggu akan datang.
Kementerian Luar Israel kelmarin mendakwa bahawa Hamas ‘sengaja meningkatkan ketegangan dan mengancam nyawa orang awam yang datang untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan’.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas 24 negara, termasuk Britain, Perancis, Australia dan Kanada, menyuarakan bahawa ‘perang ini mesti ditamatkan serta-merta’, kerana penderitaan orang awam di Gaza telah mencapai ‘tahap paling tinggi’. – AFP
