Menteri Luar Rusia lawat Syria

DAMSYIK, 7 SEPT – Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov mendarat di Damsyik semalam untuk lawatan pertamanya ke Syria sejak 2012, kata kementerian luar Syria.

Beliau menyertai satu rombongan Rusia yang dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri Yury Borisov yang tiba di ibu negara Syria pada malam sebelumnya, kata agensi berita SANA.

Lavrov dijangka bertemu dengan Presiden Bashar al-Assad sebelum sidang media bersama rakan sejawatan Syria Walid Muallem pada tengah hari, kata kedua-dua menteri luar.

Beliau seterusnya akan berkunjung ke Cyprus selepas itu.

Presiden Vladimir Putin mengadakan lawatan pertamanya ke Damsyik dalam perang berusia sembilan tahun Syria pada Januari tahun ini.

Pemimpin Rusia itu juga melawat Syria pada Disember 2017 tetapi bukan di ibu negara, hanya singgah di Hmeimim di pantai Mediterranean. – AFP