BEIRUT, 25 APRIL – Menteri Luar Syria, Asaad al-Shibani dijadualkan menaikkan bendera baharu negaranya di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York hari ini dan menghadiri taklimat Majlis Keselamatan PBB, menandakan kehadiran pertama pegawai kanan kerajaan Syria di Amerika Syarikat (AS) sejak kejatuhan Presiden Bashar al-Assad dalam serangan kilat oleh kumpulan pemberontak pada Disember lalu.
Bendera baharu tiga bintang yang sebelum ini digunakan oleh kumpulan pembangkang kini menggantikan bendera dua bintang era Assad sebagai lambang rasmi negara itu.
Pihak berkuasa baharu di Damsyik sedang berusaha memikat Washington bagi mendapatkan pelepasan daripada sekatan yang dikenakan oleh AS dan sekutunya susulan tindakan keras Assad terhadap protes anti-kerajaan pada 2011 yang mencetuskan perang saudara.
Satu delegasi pegawai Syria akan berada di AS minggu ini bagi menghadiri mesyuarat Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington serta mesyuarat PBB di New York.
Tidak pasti sama ada pegawai pentadbiran Trump akan bertemu dengan al-Shibani semasa lawatan itu.

Pentadbiran Trump masih belum mengiktiraf secara rasmi kerajaan Syria semasa yang diketuai oleh Ahmad al-Sharaa, bekas pejuang Islamis yang mengetuai serangan yang menyingkirkan Assad. Sekatan masih kekal, walaupun beberapa sekatan telah diberi pelepasan sementara. Kumpulan pengganas yang pernah diterajui al-Sharaa, Hayat Tahrir al-Sham, masih disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh AS.
Dua ahli Kongres Republikan, Marlin Stutzman (Indiana) dan Cory Mills (Florida) mengadakan lawatan tidak rasmi ke Damsyik minggu lalu anjuran sebuah pertubuhan bukan untung Syria-Amerika dan bertemu dengan al-Sharaa serta pegawai lain.
Mills berkata kepada Associated Press sebelum bertemu al-Sharaa bahawa keputusan untuk menarik balik sekatan terletak di tangan presiden, namun ‘Kongres boleh memberi nasihat.’
Menurut Mills, al-Sharaa menyatakan Syria bersedia menormalkan hubungan dengan Israel ‘di bawah syarat yang sesuai,’ namun syarat tersebut tidak diperincikan. – AP