Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Menteri-menteri sukan ASEAN telah menekankan semula kepentingan mempromosikan Komuniti ASEAN yang aktif di mana sukan berfungsi sebagai cara penting dalam memajukan pembangunan sosiobudaya dan menggalakkan keamanan.
Ke arah itu, menteri-menteri ASEAN mengulangi komitmen mereka ke arah penyatuan Pelan Kerja ASEAN mengenai Sukan 2021-2025, di samping penubuhan dan pengukuhan kerjasama dengan badan antarabangsa termasuk Komanwel, UNESCO dan Fédération Internationale de Football Association (FIFA).
Menteri-menteri menegaskan komitmen berkenaan semasa Mesyuarat Menteri-menteri Sukan ASEAN ke-6 (AMMS-6) yang berlangsung melalui sidang video, kelmarin.
Mewakili Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Edwin Tong dan dihadiri oleh menteri dan ketua delegasi yang bertanggungjawab ke atas sukan dari negara anggota ASEAN serta timbalan setiausaha agung ASEAN.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), semasa mesyuarat itu, menteri-menteri juga menekankan mengenai kepentingan mengukuhkan keupayaan anti-doping menerusi kerjasama dengan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dan Pertubuhan Anti-Doping Serantau Asia Tenggara untuk meningkatkan kapasiti pertubuhan-pertubuhan anti-doping kebangsaan dengan meningkatkan kesedaran mengenai anti-doping dan pegawai latihan.
Semasa berucap, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan antara lain berkongsi kepentingan kebolehsesuaian dan penggunaan kemajuan teknologi untuk menstabilkan kesan COVID-19 bukan sahaja dalam sukan tetapi juga pembangunan keseluruhan ASEAN.
Beliau juga menyatakan penyertaan negara-negara anggota ASEAN dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini adalah bukti kedayatahanan sukan di peringkat serantau dan kebangsaan.
Inisiatif yang diambil oleh Persatuan Sukan Kebangsaan dan ketahanan sukan rekreasi dalam garis panduan sedia ada di Negara Brunei Darussalam turut diketengahkan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga mengongsikan semasa Brunei Darussalam menjadi pengerusi ASEAN 2021, kerjasama sukan di rantau ini akan lebih jauh diperkukuh dengan penubuhan rangka kerja kerjasama baharu dengan rakan-rakan dialog ASEAN.
Mesyuarat AMMS-6 juga mengambil maklum Laporan Pertama Kecergasan Fizikal ASEAN (APFI) dan mengalu-alukan penyiapan Kajian Penyelidikan Warga Aktif Seluruh Dunia (ACW) mengenai Nilai Sosioekonomi Sukan yang diketuai oleh Singapura yang meninjau lebih 15,000 responden di 10 negara ASEAN.
Semasa Mesyuarat, para menteri juga telah mengesahkan Kenyataan Bersama AMMS-6 dan mengalu-alukan Thailand sebagai pengerusi dan tuan rumah AMMS ke-7 untuk 2023.
Susulan mesyuarat AMMS-6, Mesyuarat Menteri-menteri Sukan ASEAN dan Japan (AMMS+Jepun) ke-3 juga telah diadakan.
Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Tetap Setiausaha (Pentadbiran, Kewangan dan Harta Pusaka) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Haji Mahmud dan pegawai-pegawai kanan KKBS.
AMMS-6 dan AMMS+Jepun ke-3 telah didahului dengan Mesyuarat Rasmi Pegawai Kanan Sukan mengenai Sukan ke-12 (SOMS-12), Mesyuarat Wanita dan Sukan ASEAN+Jepun ke-2 dan Mesyuarat Pegawai Kanan-kanan mengenai Sukan ASEAN dan Jepun (SOMS+Jepun) ke-4.