BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, baru-baru ini, telah menghadiri Persidangan Menteri-menteri Pendidikan Komanwel ke-22 (22CCEM) bertemakan Memacu Kedayatahanan, Kesaksamaan dan Kemahiran untuk Masa Depan yang Inklusif yang diadakan di Marlborough House, London, United Kingdom.
Persidangan pada 16 dan 17 Mei lalu itu dianjurkan oleh pihak Sekretariat Komanwel dan dipengerusikan oleh pihak Republik Kenya.
Ia dihadiri oleh menteri-menteri pendidikan dari negara anggota Komanwel serta wakil-wakil dari pertubuhan antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membincang dan meneliti agenda serta keutamaan yang dipersetujui semasa Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2022 di Kigali, Republik Rwanda dan Persidangan Menteri-menteri Pendidikan Komanwel ke-21 (21CCEM) di Nairobi, Republik Kenya.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga berkesempatan mengongsikan beberapa inisiatif utama Kementerian Pendidikan dan menyuarakan komitmen Negara Brunei Darussalam bagi memastikan setiap individu mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama, termasuk peluang pembelajaran sepanjang hayat.
Mesyuarat juga meluluskan resolusi Persidangan 21CCEM yang akan dibentangkan semasa Mesyuarat CHOGM pada pada Oktober 2024 di Apia, Samoa, dengan tema One Resilient Common Future: Transforming our Common Wealth.
Semasa persidangan itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga berkesempatan membuat perjumpaan bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Commonwealth of Learning (COL), Profesor Peter Scott.
Persidangan 22CCEM didahului dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan 22CCEM yang dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.