Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah mengetuai delegasi dari Kementerian Pertahanan ke Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan Asia Tenggara–Amerika Syarikat, iaitu mesyuarat sampingan Dialog Shangri-La ke-22 anjuran Institute for Strategic Studies’ (IISS) yang diadakan di Republik Singapura pada 30 Mei lalu.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa turut menyertai delegasi ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam Ke Republik Singapura, Puan Yang Terutama Hajah Noor Qamar binti Haji Sulaiman.
Mesyuarat tidak rasmi itu menghimpunkan Menteri-menteri Pertahanan dan wakil negara-negara Asia Tenggara termasuk Timor Leste dan juga Amerika Syarikat serta dipengerusikan oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Yang Berhormat Pete Hegseth, yang mana ia membincangkan cabaran keselamatan serantau termasuk cara untuk memperkukuh keupayaan ASEAN dan meningkatkan penglibatan serta kerjasama antara Amerika Syarikat dan negara-negara serantau.
Semasa mesyuarat ini, Yang Berhormat Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menegaskan komitmen negara untuk terus melibatkan diri dan mengukuhkan kerjasama dengan Amerika Syarikat, termasuk melalui Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) demi memastikan keamanan dan kestabilan rantau ini.
Yang Berhormat Pehin juga berpeluang mengadakan perjumpaan dua hala berasingan dengan Menteri Koordinasi Bagi Sekuriti Kebangsaan dan Menteri Ehwal Dalam Negeri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama K Shanmugam dan Menteri Koordinasi Bagi Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing, yang menggariskan tahap hubungan yang sangat kukuh dan istimewa antara Brunei dan Republik Singapura.



