Sunday, March 16, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri pertahanan kedua lawat Filipina

    MANILA, 28 OGOS – Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof kini berada di Republik Filipina bagi lawatan rasmi sehingga 30 Ogos atas undangan Setiausaha Pertahanan Nasional Republik Filipina, Delfin N Lorenzana.

    Lawatan bermula dengan kunjungan hormat kepada setiausaha pertahanan di Kem Emilio Aquinaldo, Bandar Quezon dan diberikan kawalan kehormatan ketibaan oleh Angkatan Tentera Republik Filipina.

    Semasa kunjungan hormat, kedua-dua belah pihak mengesahkan hubungan pertahanan dua hala antara Brunei dan Filipina, menggariskan kerjasama melalui penglibatan pelbagai hala seperti Mesyuarat

    Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM+ serta bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu keselamatan semasa serta usaha sama menangani cabaran-cabaran keselamatan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, Yang Berhormat Pehin kemudiannya mengadakan perjumpaan dengan Penasihat Keselamatan Negara Filipina, Rufino S Lopez Jr, di mana kedua-dua mereka memaklumkan satu sama lain mengenai perkembangan-perkembangan domestik, serantau dan antarabangsa dan saling bertukar-tukar cenderahati.

    Yang Berhormat Pehin juga akan melakukan perjalanan ke Mindanao dan bakal meluangkan masa untuk mengunjungi Grand Mosque dan Ibu Pejabat Pasukan Pemantau Antarabangsa Team Site 1 Negara Brunei Darussalam di Cotabato City.

    Dalam kesempatan tersebut, Yang Berhormat Pehin akan mendengarkan taklimat daripada Pasukan Pemantau Antarabangsa Negara Brunei Darussalam dan Independent Decommissioning Board (IDB).

    Yang Berhormat Pehin dijangka menamatkan lawatan rasminya ke Filipina pada Jumaat, 30 Ogos ini.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua diberikan kawalan kehormatan ketibaan oleh Angkatan Tentera Republik Filipina.
    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bertukar-tukar pandangan tentang pelbagai isu keselamatan semasa dengan Setiausaha Pertahanan Nasional Republik Filipina.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda