KUCHING, 11 NOV – Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mencipta sejarah apabila menjadi menteri pertama dari Asia yang berucap pada sesi mengenai kerjasama kerajaan di Kongres Persatuan Konvensyen dan Kongres Antarabangsa (ICCA) ke-65 di Porto, Portugal.
Business Events Sarawak (BESarawak) dalam satu kenyataan hari ini berkata semasa sesi yang diadakan semalam, Abdul Karim bercakap mengenai usaha kerajaan negeri dalam memajukan acara perniagaan melalui kerjasama kukuh antara pelbagai kementerian.
“Pemikiran jangka panjang amat penting untuk memperkukuh keyakinan dan menyelaraskan keperluan industri dengan keutamaan negara.
“Kami akan menandatangani memorandum persefahaman dengan 12 kementerian Sarawak pada Disember untuk mencerminkan komitmen kerajaan terhadap acara perniagaan dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan industri. Ini akan menjadi perkongsian kerajaan-industri terbesar dalam sektor acara perniagaan di Malaysia,” katanya.
BESarawak berkata delegasi terbesar Sarawak yang diketuai oleh Abdul Karim menjadi tumpuan utama pada kongres itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai kuasa global dalam acara perniagaan berteraskan legasi.

Kenyataan itu menyebut bahawa delegasi berkenaan menekankan pendekatan whole-of-government dan whole-of-industry yang menjadi ciri khas Sarawak untuk memperkasa sektor acara perniagaan sebagai pemacu kemajuan ekonomi dan sosial yang mampan.
Sementara itu, Pengerusi BESarawak, Datuk Hii Chang Kee, yang merupakan salah seorang speaker di mesyuarat Bahagian Asia Pasifik ICCA, menyifatkan kadar kemenangan bidaan 100 peratus Sarawak sejak 2021 sebagai hasil sokongan kukuh kerajaan, kerjasama rapat industri dan pelaburan dalam topik berimpak tinggi dan bernilai tinggi.
“Setiap bidaan disokong oleh usaha bersepadu merentas kementerian, agensi dan rakan industri, semuanya diselaraskan di bawah visi Sarawak yang berteraskan legasi untuk mewujudkan manfaat jangka panjang kepada komuniti, bukan sekadar hanya menganjurkan acara,” katanya.
Pada acara yang sama, BESarawak menerima Anugerah Penghargaan ICCA atas sumbangannya terhadap pembangunan kukuh industri Perkhidmatan Komponen Pesawat Asia Pasifik (APACS). – Bernama

