SAGA, 19 MEI – Menteri Pertanian Jepun Taku Eto, hari ini dikritik selepas menyatakan bahawa beliau tidak perlu membeli beras kerana menerima bekalan yang banyak daripada penyokongnya, pada ketika harga beras yang melambung tinggi membebankan isi rumah, lapor Agensi Berita Kyodo.
Kenyataan Eto, yang dibuat kelmarin ketika majlis pengumpulan dana, hadir ketika kementeriannya sedang mempertimbangkan langkah untuk membantu menurunkan harga beras yang melonjak, termasuk melepaskan sebahagian stok beras kerajaan.
Walaupun terdapat tanda-tanda kestabilan, harga purata beras meningkat kira-kira dua kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu, sebahagiannya disebabkan hasil tuaian yang buruk.
“Saya tidak membeli beras. Terima kasih kepada penyokong saya yang memberikan begitu banyak beras, saya mempunyai begitu banyak beras di rumah sehingga saya boleh menjualnya,” beliau dipetik sebagai berkata oleh seorang peserta dalam mesyuarat cawangan tempatan Parti Liberal Demokratik (LDP) di Wilayah Saga, barat daya Jepun.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Shigeru Ishiba menerima kritikan kerana hanya mula melepaskan stok beras pada Mac, walaupun harga telah mula meningkat sejak musim luruh tahun lalu.
Selepas kenyataannya dilaporkan oleh media, Eto memberitahu pemberita pada Isnin bahawa beliau ‘terlalu berlebihan’ apabila mengatakan bahawa beliau mempunyai begitu banyak beras sehingga boleh menjualnya.
Beliau berkata beliau kesal kerana menyebabkan kekecohan dan ingin membetulkan kenyataannya. Beliau juga menyatakan akan terus berusaha menghasilkan keputusan sebagai menteri pertanian dan menolak untuk meletakkan jawatan berhubung kenyataan kontroversinya.
Kira-kira 87 peratus responden dalam tinjauan hujung minggu Kyodo News menyatakan rasa tidak puas hati terhadap cara kerajaan menangani harga beras yang melambung. Kadar sokongan awam terhadap Kabinet Ishiba mencatatkan paras terendah sejak beliau memegang jawatan pada Oktober lalu.
Harga purata beras yang dijual di pasar raya Jepun dari akhir April hingga awal Mei ialah 4,214 yen (AS$29) bagi lima kilogram, jatuh buat kali pertama dalam 18 minggu tetapi masih dua kali ganda lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Kerajaan melelong 312,000 tan beras simpanan dalam tiga peringkat antara Mac dan April, dan merancang untuk melepaskan tambahan 300,000 tan menjelang Julai. – Bernama
