Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan isteri, Datin Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman, semalam, menerima kunjungan Hari Raya Aidilfitri daripada Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Ehwal Luar Republik Singapura, Dr. Mohamad Maliki bin Osman bersama isteri, Sadiah Shahal serta rombongan.
Antara yang turut menyertai rombongan berkenaan ialah Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga & Kementerian Pendidikan, Profesor Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim bersama isteri, Hayati binti Haron dan Datuk Bandar, CDC Timur Laut, Desmond Choo.
Juga hadir menyertai kunjungan ke kediaman Yang Berhormat Pehin itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Lim Hong Huai.
Hari ini, Dr. Mohamad Maliki dan isteri turut mengadakan kunjungan muhibah Hari Raya ke atas Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned di kediamannya, Rumah Hidayah di Jalan Mulaut, Mukim Sengkurong.




Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah Prof. Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim dan isteri, Hayati dan Desmond Choo serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Singapura di Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Brunei Darussalam.
Rombongan Menteri Kanan Singapura ini telah dialu-alukan oleh Yang Berhormat Pehin dan isteri, Datin Hajah Maznah binti Haji Mohammad berserta ahli keluarga.
Sementara itu, Dr. Mohamad Maliki dalam laman Facebooknya melahirkan rasa gembira atas layanan mesra yang beliau dan isteri serta rombongan terima semasa mengadakan kunjungan Hari Raya ke atas sahabat-sahabat di negara ini termasuk Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.
Semasa di sini, Dr. Mohamad Maliki juga mengadakan pertemuan dengan anggota Angkatan Bersenjata Republik Singapura yang sedang menjalani latihan di Brunei berserta ahli keluarga mereka.
Rombongan Dr. Mohamad Maliki berada di negara ini bagi rangka kunjungan selama lima hari hingga 30 Jun 2017.