Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 5 Jan – Seramai 854 orang pelajar yang terdiri daripada 387 pelajar lelaki dan 467 pelajar perempuan memulakan persekolahan Arab sesi pengajian 2017 bagi kemasukan pelajar-pelajar Sannah 5 di seluruh negara, hari ini.
Daripada jumlah berkenaan, Sekolah Persediaan Arab, Bandar Seri Begawan telah mencatatkan jumlah kemasukan pelajar tertinggi iaitu seramai 390 orang pelajar perempuan Tahun 5 dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) menempatkan seramai 337 orang pelajar lelaki.
Sementara itu, Ma’had Islam Brunei pula menerima seramai 70 orang pelajar (28 lelaki dan 42 perempuan), Sekolah Persediaan Arab Belait seramai 37 orang pelajar (16 lelaki dan 21 perempuan) dan Sekolah Arab Temburong menerima seramai 20 orang pelajar (enam lelaki dan 14 perempuan).
Bagi meninjau kemasukan pelajar-pelajar baru Sannah 5, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pagi tadi meneruskan lawatannya ke Ma’had Islam Brunei, Daerah Tutong.

Turut menyertai lawatan tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Zulkifli bin Penglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah dan Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Ajijah binti Haji Moktal.
Kehadiran Yang Berhormat Pehin dan rombongan adalah bagi menyuntik semangat dan motivasi kepada pelajar-pelajar baru yang melalui peralihan persekolahan daripada aliran umum ke aliran Arab.
Yang Berhormat Pehin turut berkesempatan berinteraksi dengan ibu bapa yang hadir bagi mendengar secara langsung harapan dan jangkaan ibu bapa memasukkan anak-anak mereka ke persekolahan Arab serta menekankan peri pentingnya komitmen bersama dalam menjayakan kemajuan anak-anak mereka.
Lawatan kerja Yang Berhormat Pehin dimulai dengan lawatan ke kelas-kelas pelajar perempuan dan lelaki, seterusnya mendengar sesi taklimat ‘Perancangan Perkembangan Sekolah bagi Tahun 2017’ yang disampaikan oleh Guru Besar Ma’had Islam Brunei, Pengiran Asmadi bin Pengiran Haji Aliuddin.