KOTA BAHARU, 17/18 Februari 2007 – Menteri Malaysia yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal wanita telah menolak cadangan seorang ulama terkemuka negara itu bagi penggunaan cawat besi dalam usaha mengurangkan kes-kes seksual yang kian berleluasa.
Ketika menolak cadangan penggunaan cawat besi itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengucapkan terima kasih ‘dengan cadangan yang dianggap kreatif itu’ tetapi menurutnya pemakaian cawat besi tidak perlu kerana masalah jenayah seksual hanya dapat diselesaikan atas kebijaksanaan seseorang itu.
“Kementerian Pembangunan Wanita tiada rancangan meminta kerajaan laksanakan (memperkenalkan pemakaiaan cawat besi), pada saya biarlah iman yang besi, tak payah pakai benda-benda lain.
“Ia terpulang kepada diri seseorang itu sendiri, walau satu badan dipasang dengan besi, kalau orang nak buat apa-apa pun memang dia boleh buat, dia boleh cari macam-macam kunci untuk bukan besi itu,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Akhbar-akhbar hari ini melaporkan cadangan seorang tokoh agama, supaya amalan memakai cawat besi di kalangan wanita pada zaman dulu, dihidupkan semula kerana wanita zaman ini banyak terdedah kepada jenayah rogol yang semakin berleluasa.
Saranan itu dibuat memandangkan berlakunya peningkatan kes rogol yang bukan sahaja melibatkan mangsa dari kalangan wanita muda, tetapi juga kanak-kanak dan warga tua.