Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mentor Mavericks juara bola jaring

    Oleh Daniel Lim –
     
    BELAIT, 8 OGOS – Pasukan Mentor Mavericks mempamerkan kemahiran dan semangat kesukanan apabila muncul juara Kejohanan Bola Jaring Lelaki IBTE Kampus Satelit 2025 yang berlangsung di Dewan Tertutup, Kompleks Sukan Mumong, Kuala Belait, kelmarin.
     
    Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh ATC Warriors di tempat kedua dan SBC di tempat ketiga.
     
    Ketua Sekolah di Akademi Maritim Brunei, Awang Mohammad Iskandar bin Haji Jani, hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah kepada tiga pasukan teratas di akhir kejohanan.
     
    Kejohanan anjuran Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) itu merupakan antara aktiviti tahunan kampus bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2025.
     
    Sebanyak enam pasukan telah dibentuk melibatkan para pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan dari IBTE JBC, IBTE Kampus Sultan Bolkiah (IBTE SBC) dan IBTE Kampus Agroteknologi (IBTE ATC).
     
    Pasukan yang bertanding termasuk 5 Per Cent IEM, ATC Warriors, SBC, Vamos, Mentor Mavericks dan The Bouys BMA.
     
    Kejohanan tersebut bertujuan untuk menggalakkan pelajar-pelajar IBTE aktif dan bersaing dalam kesukanan, di samping memupuk keharmonian serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan kampus satelit IBTE.
     
    Selain itu, pertandingan tersebut turut menjadi platform untuk mengenal pasti bakat-bakat baharu yang berpotensi mewakili IBTE ke kejohanan peringkat kementerian atau kebangsaan.
     
    Sepanjang kejohanan, para peserta telah menunjukkan semangat kesukanan, kerjasama pasukan dan keazaman yang tinggi, sekali gus mencerminkan semangat persaingan sihat yang sebenar.
     
    IBTE JBC merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang dan peserta, serta penghargaan ikhlas kepada jawatankuasa penganjur, pegawai-pegawai dan semua yang telah menyumbang kepada kejayaan acara tersebut.
     
    Pihak kampus berharap inisiatif sedemikian akan terus menjadi platform dalam memupuk gaya hidup sihat, memperkukuhkan jaringan persaudaraan serta melahirkan atlet pelapis yang mampu mengharumkan nama IBTE di peringkat lebih tinggi.
     
    Pasukan juara bergambar ramai bersama tetamu kehormat. – GAMBAR DANIEL LIM
    Aksi sebahagian pasukan yang menyertai kejohanan bola jaring tersebut. – GAMBAR DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda