Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Menu datang bersama jejak karbon?

    BRISTOL, UNITED KINGDOM – Menu di restoran The Canteen di barat daya England tidak hanya memberitahu para pengunjung tentang harga sesuatu hidangan.

    Pelanggan juga boleh memeriksa jejak karbon sajian yang dihidangkan.

    Sajian pakora lobak dan ubi bit bersama sos yogurt bertanggungjawab terhadap pelepasan 16 gram karbon dioksida (CO2). Manakala terung dengan miso dan sos harissa bersama tabbouleh dan roti bakar Zaatar mengeluarkan 675 gram karbon dioksida.

    Ketika pelanggan menimbang opsyen mereka, menu di restoran vegetarian di Bristol termasuk perbandingan dengan hidangan yang tidak disajikan di restoran berkenaan: pelepasan daripada hamburger yang dihasilkan di UK.

    “Tiga kilo untuk satu burger, wow! Saya tidak mempercayainya,” ujar Enyioma Anomelechi, pelanggan berusia 37 tahun yang sedang menghirup minumannya di luar restoran. Menu itu mengingatkan bahawa pelepasan CO2 burger daging sebenar adalah ’10 kali lebih tinggi daripada alternatif burger vegan’.

    Seorang pekerja bersedia menghidangkan makanan kepada pelanggan di restoran The Canteen di Bristol. – AFP
    Seorang pekerja menyediakan makanan di restoran The Canteen, salah sebuah restoran pertama di UK yang meletakkan jejak karbon sajiannya dalam menu selain kalori, di Bristol. – AFP

    Pencuci mulut yang disajikan di restoran The Canteen. – AFP

    Jejak karbon perniagaan dan pengguna kini semakin dikawal rapi ketika negara-negara bergegas untuk mengehadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius dan mencapai pelepasan sifar menjelang tahun 2050.

    The Canteen pada Julai menjadi restoran pertama yang bersetuju untuk meletakkan jejak karbon pada menu di bawah kempen yang dipelopori oleh badan kebajikan kempen vegan UK Viva!

    Pengurus restoran, Liam Stock, menggelar tindakan tersebut sebagai satu cara untuk ‘melihat apa yang sedang kami lakukan serta memahami dan memperbaiki diri kami.’

    Individu biasa British mempunyai jejak karbon tahunan berjumlah lebih daripada 10 tan, menurut angka kerajaan UK.

    Britain telah menetapkan matlamatnya untuk mengurangkan pelepasan berbahaya sebanyak 78 peratus menjelang tahun 2035, berbanding dengan angka 1990, demi memenuhi komitmen perubahan iklim antarabangsa.

    Beralih kepada diet berasaskan tumbuhan merupakan salah satu cara paling berkesan untuk seseorang individu mengurangkan jejak karbon mereka, menurut pakar daripada Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim pada April.

    Industri haiwan ternakan mengganti hutan yang menyerap CO2 dengan tanah untuk meragut rumput dan tanaman kacang soya untuk makanan lembu. Haiwan tersebut juga mengeluarkan sejumlah besar metana, gas rumah hijau yang paling menjejas alam sekitar.

    Stock berkata perlu tengok dulu sama ada pelanggan akan membenarkan jejak karbon mempengaruhi pilihan pesanan menu mereka, namun inovasi menu telah membangkitkan minat dan sokongan.

    “Di England, jika awda sebuah restoran rantaian besar, undang-undang yang menetapkan awda perlu mempunyai kalori dalam menu yang disediakan,” katanya.

    “Namun ramai orang mengatakan mereka lebih berminat dalam jejak karbon.” Sementara Anomelechi mencatatkan perbezaan ‘besar’ dalam pelepasan di antara hamburger dan sajian lain, beliau berkata dia tidak ingin dibebani untuk mengetahui jumlah kalori dalam pesanannya mahupun jejak karbon.

    “Apabila saya keluar makan, saya hanya mahu menikmati hidangan yang dipesan,” tambahnya, mendapati dia lebih cenderung mengubah tabiatnya apabila membeli-belah barang-barang runcit.

    Laura Hellwig, pengurus kempen di Viva!, berkata jumlah jejak karbon harus menjadi sesuatu yang wajib.

    “Kami sedang berdepan krisis iklim dan pengguna perlu membuat pilihan yang bijak,” kata aktivis itu.

    Pada pandangannya, ‘kebanyakan orang sebenarnya akan memilih planet’ sekiranya diberi perbandingan di antara jejak karbon sajian berasaskan daging dan sajian vegan.

    Stock berkata dia tahu hidangan restorannya akan mencatat jejak karbon rendah, memandangkan kebanyakan ramuannya diperoleh di kawasan setempat.

    “Kami tidak perlu mengubah apa-apa,” ujarnya, sementara mengaku berdepan beberapa kejutan, seperti mendapat tahu rempah-ratus import menambah pelepasan.

    Untuk mengira jejak karbon sajian, The Canteen menghantar resipi dan sumber ramuan kepada syarikat khusus bernama MyEmissions.

    Ia berupaya mengira kesan karbon dari ‘asas hingga ke kedai’, mengambil kira faktor perladangan, pemprosesan, pengangkutan dan pembungkusan.

    “Jika saya perlu memilih di antara dua sajian, mungkin bergantung pada betapa lapar saya, saya mungkin memilih menu dengan jejak karbon lebih rendah,” kata Nathan Johnson, seorang pelanggan berusia 43 tahun di restoran itu.

    Pada hari itu, dia memilih salad hasil tangan khas cef, yang mengandungi 162 gram karbon. Seorang lagi pelanggan, Emma Harvey, 29 tahun, juga menyokong idea untuk menambah kesedaran mengenai jejak karbon dan ‘kesan etika makanan yang kami makan’.

    “Kami perlu mengamalkan tabiat tersebut dalam kehidupan harian kami,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...