Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Dalam menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, KFC Brunei memperkenalkan menu baharu iaitu KFC Ayam Percik yang akan boleh didapati di seluruh cawangannya bermula 31 Mac.
KFC Ayam Percik baharu berkenaan menawarkan kelainan kepada juadah klasik ayam percik Malaysia yang mana juadah ini merupakan salah satu sajian enak tempatan yang selalu diidamkan pada bulan mulia ini.
Campuran herba dan rempah ratus aromatik Melayu seperti serai, halia, lengkuas, dan kunyit menyeliputi ayam Hot & Spicy KFC, yang mana cetusan rasa asli percik dengan rasa pedas dalam setiap gigitan rangup, pastinya lebih menyelerakan ditambah
dengan hidangan nasi Colonel empuk yang pasti memuaskan rasa lapar.
Ketua Pegawai Pemasaran KFC Malaysia, Chan May Ling menjelaskan, “Sempena sambutan Ramadan dan Hari Raya, kami melancarkan sajian khas baharu menggamit nostalgia dengan Ayam Percik interpretasi tersendiri kami di mana diharap membawakan kegembiraan dan kenikmatan dalam suasana berbuka puasa dan sambutan Raya bersama keluarga dan rakan.”
Menurut beliau, menu hidangan KFC Ayam Percik baharu itu tersedia sementara stok masih ada dan disarankan untuk membuat pesanan awal bagi mengelakkan kekecewaan dan pesanan dalam talian untuk penghantaran atau ambil sendiri di mana pelanggan boleh
membuat pilihan tarikh dan waktu yang sesuai dan pra-pesan lebih awal.
Di samping itu, KFC Bucket Kongsi dalam set lima ketul, sembilan ketul, atau 15 ketul boleh didapati bermula pertengahan April bersama hidangan sampingan yang diinspirasikan daripada pencuci mulut tempatan yang sesuai dinikmati bersama ketika berbuka puasa dan menyambut Hari Raya.
