KUALA LUMPUR, 17 FEB – Persatuan peniaga berharap kerajaan dapat tampil dengan sistem sokongan yang kuat untuk memastikan pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah bertahan lama dan berterusan dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Presiden Persatuan Usahawan Food Truck Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KLFTEA), Muhammad Azlan Abas berkata susulan kenaikan harga barangan ketika ini, sistem sokongan yang kuat seperti kerjasama menyeluruh pelbagai agensi diperlukan dalam membantu peniaga atau penjaja.
“Contohnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) atau koperasi boleh bekerjasama dengan mana-mana persatuan terlibat untuk pukalkan harga barangan.
“Mungkin dengan kaedah ini, inisiatif Menu Rahmah itu akan ada kesinambungannya,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya ramai peniaga dan penjaja menyokong inisiatif kerajaan itu kerana ia memberi manfaat kepada rakyat, namun pelaksanaannya perlu disusuli dengan satu ekosistem yang lengkap agar perniagaan terus berjaya. – Bernama