Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Menu Rahmah perlu sinergi untuk kelangsungan

    KUALA LUMPUR – Hampir dua minggu diperkenalkan, Menu Rahmah yang merupakan antara usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup rakyat, mendapat maklum balas positif masyarakat, khususnya golongan sasar.

    Tinjauan sentimen yang dilakukan Bernama pada 2 dan 3 Februari lalu mendapati kira-kira 56 peratus menyambut baik komitmen kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dalam menjaga kebajikan rakyat, terutama B40, dengan menawarkan hidangan berkhasiat tengah hari dan malam pada harga RM5 sepinggan.

    Inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu menarik penyertaan lebih 15,000 restoran di seluruh negara, menyaksikan golongan sasar memanfaatkan sepenuhnya usaha itu yang menurut mereka sedikit-sebanyak membantu meringankan beban yang ditanggung.

    Namun, timbul persoalan sejauh mana program itu mampu bertahan.

    Tidak mampan

    Penganalisis ekonomi Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School, berkata inisiatif itu memerlukan sinergi antara kerajaan, peniaga makanan dan pembekal bahan mentah sekiranya tidak mahu ia berakhir sebagai hangat-hangat tahi ayam.

    “Sekiranya kita melihat dari sisi peniaga makanan itu sendiri, sememangnya sukar juga untuk mereka menurunkan harga makanan serendah RM5 kerana selain kos bahan mentah yang tinggi, mereka terpaksa menanggung lain-lain kos seperti kos operasi.

    “Justeru, mungkin boleh diwujudkan pendekatan lain oleh kerajaan dalam menyalurkan bantuan seperti subsidi bahan mentah tertentu kepada peniaga yang terlibat,” katanya kepada Bernama.

    Beliau juga berpandangan penglibatan syarikat besar dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam inisiatif itu dapat membantu kelangsungan program.

    Penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. – Bernama
    Pengusaha Restoran Asam Pedas Selera Kampung Saharudin Mohd Nor menunjukkan salah satu menu asam pedas yang ditawarkan di bawah Program Menu Rahmah kepada pelanggannya pada Sesi Pengenalan Program Menu Rahmah. – Bernama
    Pekerja Restoran Bekwoh, Nur Muhammad Tarif Mat Shah menunjukkan tiga Menu Rahmah iaitu Nasi Ayam Kisar, Nasi Telur Berlada dan Nasi Gulai Termenung yang dihidangkan bersama Air Sirap berharga RM5 setiap hidangan. – Bernama
    Menu Rahmah iaitu Nasi Ayam Cincang dihidangkan bersama Air Sirap berharga RM5. – Bernama

    Sumbangan pek makanan

    Mengulas lanjut, Ahmed Razman yang merupakan Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra, berkata masyarakat yang lebih berkemampuan juga boleh berperanan secara proaktif membantu peniaga dengan menyumbang pek makanan Menu Rahmah kepada kumpulan sasar.

    Beliau berkata sumbangan itu dapat membantu kumpulan peniaga terlibat memperbanyakkan lagi jumlah hidangan Menu Rahmah, sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai individu tidak berkemampuan.

    “Ini yang kita namakan sebagai konsep berkongsi rezeki atau bayar makanan untuk orang lain, yang mana seorang pelanggan itu dia membayar lebih dan (lebihan bayaran) akan diguna untuk membantu mereka yang tidak mampu membeli,” katanya.

    Pada masa sama, beliau mengingatkan peniaga supaya mengambil pendekatan terbaik bagi menangani kemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan membeli menu tersebut.

    Persaingan sihat

    Sementara itu, Ketua Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Prof Madya Dr Nurul Shahnaz Ahmad tidak menolak pengenalan Menu Rahmah akan memberi sedikit kesan kepada peniaga kecil lain yang tidak terlibat dalam program tersebut.

    “Pembeli pastinya akan lebih cenderung membeli daripada peniaga Menu Rahmah kerana harga lebih murah. Pastinya dalam jangka panjang peniaga kecil lain berkemungkinan terpaksa juga menurunkan harga mereka supaya setanding dengan harga Menu Rahmah.

    “Perkara ini biasa juga berlaku, dan dalam (istilah) ekonomi kita panggil persaingan sempurna, maksudnya peniaga menjual produk lebih kurang sama jadi peniaga itu tidak ada kuasa untuk meletakkan harga lebih tinggi kerana persaingan daripada penjual yang meletakkan harga lebih murah,” katanya.

    Hidangan lengkap

    Sementara itu, pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin berkata Menu Rahmah merupakan langkah tepat dalam memperkenalkan konsep makanan seimbang merentasi semua laras latar belakang pendapatan.

    Beliau melihat program itu sebagai langkah pertama Malaysia dalam memastikan rakyat yang dikategorikan B40 dapat menikmati hidangan mengandungi makronutrien lengkap (karbohidrat, protein dan lemak), serat serta pelbagai khasiat lain pada harga yang jauh lebih murah.

    “Berdasarkan kajian terdahulu, kita dapati bahawa antara komponen utama yang dikorbankan oleh golongan kurang berkemampuan dalam menu harian mereka bagi mengurangkan perbelanjaan makanan ialah sumber protein seperti ikan dan ayam atau mengorbankan sumber sayur-sayuran.

    “Pengenalan Menu Rahmah ini disifatkan sebagai platform yang memboleh-kan mereka mendapat keseluruhan komponen utama dalam menu harian mereka seperti saranan dalam Pinggan Sihat Malaysia,” katanya.

    Sehubungan itu beliau berharap penyediaan hidangan menepati porsi pemakanan yang ditetapkan dalam Pinggan Sihat Malaysia agar masyarakat bukan sahaja dapat menikmati hidangan sihat tetapi juga mengekang masalah obesiti.– Bernama

    Produk tenusu

    Pada masa sama, beliau berkata peserta Menu Rahmah juga wajar melihat aspek pemakanan untuk kanak-kanak yang mana mereka memerlukan nutrien lengkap yang dapat menyokong tumbesaran, terutama daripada produk tenusu.

    Sehubungan itu, Norsham Juliana menyarankan peniaga menyediakan menu khas untuk kanak-kanak dengan menambah produk tenusu sebagai pelengkap hidangan. – Bernama

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...