Pernah membuat peminatnya ‘gila bayang’ dengan lagu-lagu balada dan vokal lunak menerusi lagu-lagu termasuk Penjaga Hati, Jatuh Cinta Lagi dan Bergema Sampai Selamanya, penyanyi dan komposer Indonesia, Nadhif Basamalah bakal beraksi dalam konsert Nadhif Basamalah – Menjaga Hati Asia Tour 2025 Live in Kuala Lumpur pada 11 September ini.
Dijangka sarat emosi, persembahan mega yang dijadualkan berlangsung di The Exchange Hall, Petaling Jaya dikatakan turut dinantikan bakat berusia 25 tahun itu.
Wakil penganjur bersama, After School dan Banyak Bagus Entertainment, Liaw Sun berkata, pemilihan Kuala Lumpur melengkapkan siri jelajah Asia Tenggara penghibur terbabit termasuk di Singapura dan Sabah.
“Tanpa memperkecilkan lokasi lain dalam kembara Menjaga Hati Asia Tour 2025, kami dengan bangga membawa penyanyi yang kini hangat ke Kuala Lumpur.
“Nadhif sendiri mengakui tidak sabar serta sangat teruja untuk bertemu peminat Malaysia pada 11 September nanti,” katanya.

Menurut Liaw Sun, kemunculan pertama jejaka asal Jakarta di pentas mega sememangnya ditunggu-tunggu sekali gus peminat tegar diminta peluang merebut tempat duduk yang dijual di laman ticketmelon sejak awal Ogos berikutan jumlahnya terhad.
“Jika awda benar-benar peminat setia Nadhif, inilah masanya. Jangan sampai terlepas peluang mendengar secara langsung vokal emas penyanyi itu mengalunkan seleksi yang mendodoikan jiwa,” ujarnya.
Terdahulu, Nadhif mula mencuri perhatian peminat muzik Nusantara selepas penampilan pada Julai 2022 dengan single Wonder in Time.
Momentum kerjaya seninya terus melonjak selepas dipilih sebagai pembuka konsert Tulus dalam siri jelajah Manusia di Makassar.
Beberapa lagu ciptaannya seperti To Be With Me dan Without Me (Sera) turut menjadi siulan, namun karya yang benar-benar melonjakkan popularitinya adalah Penjaga Hati pada 2023. – Agensi

