DICIPTA oleh Hideaki Itsuno yang sebelum ini pernah berjaya menerbitkan beberapa siri permainan video yang berjaya mendapat perhatian seperti siri Resident Evil, Devil May Cry dan juga Breath of Fire di bawah terbitan Capcom, Dragon’s Dogma merupakan sebuah permainan video yang pernah dikeluarkan untuk pelantar PlayStation 3 dan Xbox 360 pada tahun 2012
Rentetan daripada kejayaan permainan video yang menampilkan aksi role-playing game dan hack and slash pada suasana latar dunia fantasi yang sangat mengagumkan itu maka kini Capcom telah membuat keputusan untuk mengeluarkan Dragon’s Dogma: Dark Arisen untuk pelantar PlayStation 4 dan Xbox 360.
Peluang kedua
Kisah dalam permainan video ini bermula dengan menampilkan suasana sebuah kawasan kampung yang mempunyai masyarakat yang hidup dalam keadaan aman damai terutama setelah seorang pahlawan kampung tersebut telah berjaya menewaskan seekor raksasa bernama Chimera.
Namun tanpa diduga suasana aman di dalam perkampungan itu hanya berlaku hanyalah untuk sementara apabila seekor naga gergasi secara tiba-tiba telah mengganas dan menyerang penduduk kampung tersebut sekali gus menyebabkan keadaan kembali huru-hara.
Lebih teruk lagi, ketika pahlawan tersebut berusaha untuk mempertahankan suasana di kawasan perkampungan itu secara tiba dia telah terkena gigitan naga gergasi yang sangat buas itu sekali gus merobek jantungnya dan mengorbankan pahlawan tersebut.
Atas usaha daripada satu kumpulan individu yang memiliki kuasa ajaib telah berjaya untuk menghidupkan kembali jasad pahlawan yang tidak lagi memiliki jantung tersebut.
Dari situ, pahlawan tersebut mula berusaha untuk menggunakan peluang kedua dalam hidupnya untuk mengembara bagi menuntut dendam atas kematiannya sekali gus mendapatkan semula jantungnya.
Bijak atur strategi pertarungan
Pada permulaan permainan, para pemain dibenarkan untuk memilih kelas karakter yang terdiri daripada Fighter, Strider, Mage, Warrior, Mystic Knight, Ranger, Assassin, Sorcerer atau Magic Archer yang jelas memiliki keupayaan yang tersendiri ketika menentang pihak musuh.
Sebagai contoh, bagi pemain yang memilih kelas Fighter setentunya memiliki kelebihan untuk melakukan aksi pertarungan pada jarak yang lebih dekat dan kelas Strider pula memberikan peluang kepada pemain untuk menentang dengan teknik yang lebih bersistematik seperti menaiki ke badan pihak musuh yang bersaiz besar.
Setentunya dalam kembara yang dilalui ini pemain akan bertemu dengan pihak musuh yang memiliki saiz yang cukup besar dan ianya jelas sangat mencabar.
Justeru, para pemain juga berpeluang untuk merekrut seramai tiga orang pawn untuk membantu melancarkan misi pemain dalam menentang pihak musuh di mana ia secara tidak langsung turut memudahkan lagi kembara pemain di sepanjang permainan video ini.
Lebih menarik lagi para pemain juga berpeluang untuk melengkapi setiap karakter yang dimainkan dengan senjata-senjata yang cukup menarik
Malah para pemain juga berpeluang untuk menggunakan senjata yang ditemui di sepanjang kembara untuk menentang pihak musuh sekali gus melancarkan lagi misi yang ingin dilaksanakan.
Maka, sekiranya anda berhasrat untuk merasai sendiri sebuah kembara yang cukup mencabar dan sangat menyeronokkan jangan terlepas untuk mencubanya dalam Dragon’s Dogma: Dark Arisen yang dikeluarkan untuk PlayStation 4 dan Xbox 360.