Tuesday, January 7, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menuntut ilmu satu kewajipan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Setiap orang Islam diwajibkan untuk menuntut ilmu, sama ada mempelajari apa yang dikerjakan agama atau mempelajari cara beribadah kepada Allah SWT.

    Ilmu juga bukan hanya terbatas kepada ilmu agama sahaja tetapi juga ilmu yang bermanfaat dalam kehidupan sehari-hari seperti teknologi, sains dan sebagainya. Ilmu yang membawa manusia kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang ciptaan Allah SWT.

    Perkara berkenaan antara yang diketengahkan di dalam tazkirah bertajuk Kewajipan Menuntut Ilmu, yang disampaikan oleh Guru Agama Terlatih, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Awang Mohd Faris Zayani bin Mohd Firdausil Amin, dari dewan sekolah berkenaan, bagi menyerikan acara Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali ke-167 bersempena Penggal Baharu Persekolahan Tahun 2025.

    Hadir sama dalam program malam munajat minggu ini ialah, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut mengimarahkan lagi acara tersebut ialah guru-guru dan murid-murid dari sekolah-sekolah agama di seluruh negara antaranya Sekolah Ugama Jerudong, Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHBB), Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah dan Sekolah Ugama Tumpuan Telisai, Daerah Tutong. Juga menyertai ialah warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyertai Program Malam Munajat anjuran KHEU secara dalam talian, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Acara yang diadakan kelmarin itu dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Pendidikan Agama Tingkat Khas, Guru Besar Sekolah Ugama Jerudong, Haji Muhd Said bin Haji Mustapa dari Dewan Sekolah Ugama Jerudong.

    Acara diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh murid Darjah 6 Alif, Sekolah Ugama Jerudong, Awang Mohd Faiq Ismail bin Haji Mohd Faisal.

    Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pendidikan Agama, Guru Besar Sekolah Ugama YSHBB, Awang Azmerul bin Haji Haris dari surau sekolah berkenaan.

    Selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh murid Darjah 6 Ta, Sekolah Ugama YSHBB, Haji Ahmad Hamzi bin Haji Abdul Aziz. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Guru Agama Terlatih, Sekolah Ugama Tumpuan Telisai, Daerah Tutong, Awang Sirajul Adli bin Haji Yusop dari dewan sekolah berkenaan.

    Acara munajat mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit berbahaya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda