Thursday, October 24, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menyanyi semasa hamil bukan isu buat Tom

    Bakal berentap di pentas Famili Duo musim ketiga (FD3) dalam keadaan diri sarat hamil lima bulan, penyanyi Tom memberitahu ia bukan satu isu besar buat dirinya.

    Ini kerana kata Tom atau Raja Farah Afzal Raja Ikram, 37, berkata, sebelum ini dia pernah menyanyi hampir 30 buah lagu untuk satu malam ketika sedang sarat hamil anak ketiganya.

    “Saya pernah hamil dalam keadaan lebih teruk lagi… Masa itu masih status ibu tunggal dan saya kena menyanyi 25 ke 30 buah lagu di sebuah kelab malam!

    “Tak cukup dengan itu, saya pakai kasut tumit tinggi… Saya masih ingat pengurus suruh berhenti tapi saya tak mahu. Dua hari selepas itu saya bersalin anak ketiga.

    “Jadi pengalaman yang ada sebelum ini saya gunakan sebaiknya. Insya-Allah saya kuat seperti dulu,” katanya kepada mStar.

    Tom dan Fuad bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi. – mStar

    Tom berkongsi mengenai keyakinannya itu ketika ditemui pada sidang media FD3 di Putrajaya pada Sabtu.

    Penyanyi itu bakal bergandingan dengan suami iaitu Fuad Rahman menerusi program yang bakal bersiaran pada 15 Oktober ini.

    Selain Tom dan Fuad, lima lagi pasangan duo yang berentap adalah Shila Amzah dan Amir Syahir (adik-beradik), Adira dan Emma Suhaimi (adik-beradik), Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (sepupu) serta Ryan Bakery dan Adam Bakery (adik-beradik).

    Manakala, satu lagi pasangan duo akan diumumkan pada pertandingan minggu pertama FD3.

    Sementara itu, Fuad atau Mohamed Fuad Abdul Rahman, 44, memberitahu dia enggan terlalu memaksa isterinya itu dalam setiap sesi latihan atau ketika membuat persembahan nanti.

    “Kali ini dia (Tom) bukan seorang. Saya akan ada bersama. Memanglah dalam keadaan hamil ini, manja sikit… tapi saya yakin dia boleh buat.

    “Saya pun tak mahu terlalu memaksa. Dia selalu nyanyi dengan nada tinggi, jadi apabila tampil berdua ini, saya kenalah ‘cover’ lebih lagi ketika buat persembahan.

    “Saya hanya selalu ingatkan agar dia cukup tidur sahaja. Kalau dapat rehat secukupnya tak mustahil boleh beri persembahan terbaik,” jelasnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda