Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menyebar hadis melalui media sosial

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Umat Islam diperintahkan untuk mentaati ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan menjadikan Baginda sebagai qudwah atau ikutan.

    Ketaatan terhadap perintah ini, serta kecintaan yang tinggi terhadap Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, merupakan antara pendorong utama yang membuatkan setiap umat Islam apabila terdengar atau terbaca segala apa yang dinisbahkan kepada Baginda akan berasa teruja untuk mengamalkan dan seterusnya menyebarkannya kepada yang lain supaya pahala amal kebajikan itu sama-sama diperolehi.

    Realiti yang kita nampak pada hari ini, aplikasi-aplikasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Twitter, Telegram, Instagram dan sebagainya seakan-akan menjadi trend dan keperluan semasa. Aplikasi-aplikasi media sosial seumpama ini, tidak dinafikan mempunyai banyak kebaikan yang tersendiri. Antaranya, ia membantu mengeratkan hubungan silaturahim dengan mempermudahkan perhubungan sesama keluarga serta sahabat handai. Ia juga merupakan platform terpantas bagi penyebaran dan perkongsian berita, maklumat ataupun ilmu.

    Bagaimanapun, dalam kealpaan serta ‘keiskian’ budaya ‘copy & paste’, sebilangan orang mudah terlupa akan satu hakikat yang sangat penting, iaitu tidak semua berita, maklumat ataupun ilmu yang tular atau tersebar dalam media sosial itu adalah sahih dan tepat. Bahkan adakalanya ia hanya khabar palsu semata-mata, atau maklumat yang salah ataupun berita yang tidak betul. Antara bahan yang sering dikongsikan dalam aplikasi-aplikasi berkenaan ialah petikan daripada hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Sememangnya tidak dinafikan menyebarkan sesuatu ilmu yang berguna kepada orang lain merupakan satu ibadah yang mendatangkan pahala, lebih-lebih lagi jika yang disebarkan itu adalah hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang merupakan sumber tasyrie‘ Islam yang kedua selepas al-Qur’an. ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Bagaimanapun, perlu diingat bahawa saranan supaya menyampai dan menyebarkan hadis-hadis Baginda itu ada batas-batas serta syarat-syaratnya. Antara perkara yang paling penting untuk diambil perhatian ialah hadis tersebut mestilah sabit nisbahnya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Bukan hadis-hadis yang mardud (tertolak) seperti hadis yang bertaraf dha‘if jiddan (sangat lemah) apatah lagi hadis maudhu‘ (hadis yang palsu atau direka-reka).

    Budaya penyebaran hadis semakin menjadi-jadi dan berleluasa akhir-akhir ini. Terutama sekali melalui platform aplikasi-aplikasi media sosial. Apa yang menjadi kebimbangan kita ialah ada di antara hadis-hadis yang disebarkan itu adalah hadis maudhu‘.

    Apakah dia hadis maudhu‘ itu? Apakah hukum meriwayat, mereka-reka atau menyebarkannya? Terlepaskah seseorang itu daripada dosa sekiranya dia meriwayat atau menyebarkan hadis maudhu‘ secara tidak sengaja, umpamanya kerana jahil, lalai atau kurang berhati-hati?

    Definisi Hadis Maudhu‘

    Hadis palsu atau dalam bahasa Arabnya dinamakan hadis maudhu‘ ialah apa sahaja perkataan, perbuatan serta lainnya yang dinisbahkan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam secara palsu atau dusta.

    Dalam erti kata lain, hadis maudhu‘ adalah segala kata-kata, perbuatan serta lainnya yang dinisbahkan kepada Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, padahal semua yang dinisbahkan kepada Baginda itu langsung tidak pernah disabdakan atau dilakukan oleh Baginda.

    Oleh sebab itu, hadis maudhu‘ bukanlah “hadis” pada hakikatnya. Bahkan ia disebut sebagai “hadis” semata-mata berdasarkan dakwaan perekanya atau perawinya sahaja.

    Hadis maudhu‘ berasal daripada bermacam-macam sumber. Adakalanya hadis maudhu‘ itu sebenarnya adalah kata-kata para sahabat, atau kata-kata para ulama, atau kata-kata hikmah, atau kata-kata doktor perubatan, atau isra’iliyyat (perkhabaran yang bersumber daripada kitab-kitab kaum Yahudi dan Nasrani) dan sebagainya yang dinisbahkan secara salah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini berlaku sama ada secara sengaja atas tujuan tertentu atau secara tidak sengaja atas sebab jahil, kurang ilmu, cuai dan sebagainya.

    Bahkan ada juga hadis maudhu‘ yang sengaja direka sendiri oleh seseorang lalu dia sendiri menisbahkan kata-kata tersebut kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam padahal kata-kata tersebut langsung tidak pernah dituturkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini dilakukan dengan niat dan cara yang tertentu, iaitu:

    i) Mencipta dengan niat baik, umpamanya bagi tujuan at-targhib wa at-tarhib, iaitu menganjurkan supaya orang ramai beribadat atau melarang daripada maksiat dengan mereka-reka ganjaran pahala atau fadhilat yang besar bagi suatu amalan (ibadat) dan mereka-reka balasan buruk atau azab ngeri bagi suatu perlakuan maksiat.

    ii) Mencipta dengan niat buruk, umpamanya dia mencipta hadis palsu bagi merosakkan ajaran serta nama baik ugama Islam, menyebarkan bid‘ah sesat, khurafat, ajaran sesat, atau atas dasar kepentingan peribadi, atau bagi menyokong atau menolak pendapat suatu aliran atau satu pegangan atau satu kepercayaan, kerana suka atau benci kepada seseorang, kerana taksub atau benci kepada suatu mazhab, atau kerana ingin menarik perhatian orang ramai supaya suka, terpesona dan takjub mendengar ceramah atau khutbahnya dengan mereka-reka hadis tentang kisah-kisah yang ajaib dan pelik serta tujuan-tujuan yang lainnya.

    Hukum meriwayat dan menyebarkan Hadis Maudhu‘

    Hadis maudhu‘ adalah seburuk-buruk hadis dalam lingkungan kategori hadis dha‘if serta yang paling merbahaya dan paling mudarat ke atas ugama serta umat Islam.

    Para ulama hadis, bahkan jumhur ulama salaf dan khalaf sepakat mengatakan hukum meriwayat atau menyebarkan hadis maudhu‘ adalah haram jika orang itu mengetahui hadis tersebut adalah hadis maudhu‘. Tidak kira sama ada hadis maudhu‘ itu adalah dalam perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam, kisah-kisah, at-targhib wa at-tarhib atau sebagainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda