Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Menyebar hadis melalui media sosial

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Dua

    Sambungan dari minggu lepas

    Bagaimanapun, tidak haram hukumnya jika ia diriwayatkan dengan tujuan untuk memperjelaskan kedudukannya sebagai hadis maudhu‘ supaya orang ramai mengenali dan mengetahui bahawa ia adalah hadis palsu yang tidak sabit nisbahnya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Keharusan meriwayatkannya itu hanyalah bagi tujuan untuk memperingatkan orang ramai supaya berwaspada serta menjauhi hadis-hadis berkenaan.

    Larangan meriwayatkan atau menyebarkan hadis maudhu‘ tidak hanya terbatas kepada hadis-hadis yang nyata atau diyakini palsunya sahaja.

    Bahkan hadis-hadis yang diragui kesabitannya pun termasuk dalam larangan ini.

    Ini jelas sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah dalam Shahihnya bahawa Samurah bin Jundab dan al-Mughirah bin Syu‘bah Radhiallahu ‘anhuma telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa yang meriwayatkan daripadaku suatu hadis sedangkan dia menyangka bahawa hadis itu adalah dusta, maka dia adalah salah seorang daripada pendusta-pendusta itu”. (Hadis riwayat Muslim)

    Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah, hadis ini bermaksud bahawa sesiapa sahaja yang meriwayatkan suatu hadis yang dia sendiri ragu akan kesabitannya, yakni dia khuatir bahawa hadis tersebut berkemungkinan palsu, lalu dia tetap juga meriwayatkannya, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengganggap dia sama bersekutu dengan orang yang mencipta hadis maudhu‘ tersebut.

    Jika kerana ‘ragu’ atau ‘khuatir’ pun sudah dikategorikan sedemikian, apatah lagi jika seorang itu meriwayatkan atau menyebarkan suatu hadis yang dimaklumi palsu kemudian dia sengaja pula meriwayatkannya tanpa menjelaskan kedudukannya.

    Imam an-Nawawi Rahimahullah pula berkata: “Haram hukumnya meriwayatkan hadis maudhu‘ bagi sesiapa yang mengetahui bahawa ia adalah hadis maudhu‘ ataupun dia merasakan bahawa ia adalah hadis maudhu‘.

    Maka barangsiapa yang meriwayatkan satu hadis sedangkan dia tahu atau merasakan bahawa ia adalah hadis maudhu‘, lalu dia tidak menerangkan kepalsuan hadis itu dalam periwayatannya, maka dia termasuk dalam janji buruk tersebut.”

    Imam al-Mulla ‘Ali al-Qari’ Rahimahullah pula berkata: “Kemudian barangsiapa yang meriwayatkan satu hadis daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, sedangkan dia sendiri syak tentang hadis tersebut; adakah ia shahih ataupun tidak shahih, maka dia merupakan salah seorang daripada para pendusta itu.”

    Jelasnya daripada kenyataan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, Imam an-Nawawi serta Imam al-Mulla ‘Ali al-Qari’ Rahimahumullah ini, amaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis tersebut tidak hanya terbatas atau tertumpu kepada mereka yang tahu bahawa hadis yang mereka riwayatkan, bawakan ataupun sebarkan itu adalah hadis maudhu‘, bahkan mereka yang memiliki walau sekelumit keraguan akan kesabitan hadis berkenaan pun turut termasuk dalam amaran tersebut.

    Meriwayat atau menyebarkan hadis maudhu‘ tanpa menjelaskan bahawa ia adalah hadis palsu, tidak syak lagi merupakan satu dosa serta jenayah yang sangat besar. Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Mughirah Radhiallahu ‘anhum serta ramai sahabat lainnya meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa yang melakukan pendustaan terhadapku, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat tinggalnya di neraka”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
    Hadis ini merupakan satu amaran keras ke atas siapa sahaja yang berdusta atau menisbahkan apa sahaja bentuk dusta kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Janji neraka dalam hadis berkenaan sudah cukup menggambarkan bahawa perbuatan meriwayat atau menyebarkan hadis maudhu‘ merupakan satu jenayah yang sangat besar di sisi Islam. Ia satu perbuatan khianat dan derhaka yang selayaknya ditakuti dan dijauhi oleh seluruh umat Islam.

    Bahkan menurut Imam Abu Muhammad al-Juwaini Rahimahullah, perbuatan ini jika disengajakan akan mengakibatkan kekufuran. Bagaimanapun, jumhur berpendapat bahawa ia tidaklah mengakibatkan kekufuran melainkan jika pelakunya beriktikad bahawa berdusta ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah sesuatu yang halal dan dibenarkan.

    Manakala Imam adz-Dzahabi Rahimahullah pula berkata dalam kitabnya al-Kaba‘ir bahawa melakukan satu dusta terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan menisbahkan sesuatu kepadanya secara bohong boleh mengakibatkan kekufuran sekiranya ia dalam perkara mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram, katanya: “Dan tidak syak lagi bahawa perbuatan sengaja berdusta terhadap Allah Ta‘ala serta Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkara mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram sudah memadai untuk mengakibatkan kekufuran.”

    Berhati-hati menyebarkan hadis di media sosial

    Telahpun dijelaskan sebelum ini bahawa meriwayat dan menyebarkan hadis maudhu‘ merupakan satu dosa besar dan satu perbuatan yang dijanjikan neraka. Bahkan kita juga dilarang daripada meriwayat dan menyebarkan hadis-hadis yang dikhuatiri maudhu‘ atau berkemungkinan tidak sabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Bagaimana pula kedudukannya jika perkara ini dilakukan bukan dengan sengaja dan bukan dengan niat buruk, akan tetapi disebabkan jahil, lalai, silap atau kurang berhati-hati dalam mengambil maklumat sepertimana yang berlaku di kalangan sebilangan masyarakat yang suka mengongsikan dan menyebar-nyebarkan (ataupun yang lebih dikenali pada masa ini dengan istilah share, forward atau copy & paste) apa sahaja yang diterimanya tanpa usul periksa, yang mana, termasuk dalam sebaran serta perkongsian tersebut adalah hadis-hadis maudhu‘ dan tidak ada asalnya?

    Adakah ia termasuk dalam kecaman serta janji buruk di atas? Atau adakah golongan ini dimaafkan atas kejahilan serta kecuaian mereka?

    Menurut ulama, berhati-hati dalam mengambil dan menyebarkan hadis hukumnya wajib. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, sebagai menjaga kesucian hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sayugia tidak diterima mana-mana hadis kecuali daripada sumbernya yang betul serta ahlinya yang muktabar.

    Ulama-ulama besar Islam sangat bersungguh-sungguh dan berhati-hati dalam menilai keshahihan sesuatu hadis sekalipun mereka adalah orang-orang yang diperakui dan tinggi ilmunya. Sebagai contoh, Imam al-Auza‘ie Rahimahullah, sebaik sahaja mendengar suatu hadis, beliau akan merujuk terlebih dahulu kepada pakar-pakar hadis untuk mendapatkan kepastian tentang status keshahihannya.

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri menegah daripada meriwayatkan dan menyebarkan hadis kecuali jika hadis tersebut benar-benar sabit shahih daripada Baginda.

    Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasa-nya beliau telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda di atas mimbar yang maksudnya:

    “Wahai sekalian manusia, jauhi oleh kamu terlalu banyak meriwayatkan hadis daripadaku.

    Barangsiapa yang menisbahkan suatu kata kepadaku, maka janganlah dia berkata-kata kecuali yang hak – atau semata-mata yang benar. Maka barangsiapa menisbahkan suatu kata kepadaku padahal aku sendiri tidak pernah mengatakannya, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat tinggalnya di neraka”. (Hadis riwayat Ibn Majah, ad-Darimi dan Ahmad)

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...