Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Menyelam cari bola golf

SHAH ALAM, MALAYSIA – Selepas dua dekad terjun dalam lautan Malaysia untuk mempertahankan negaranya, juruselam tentera laut, Sumadi Ibrahim telah bersara dan memilih kerjaya di padang golf – menyelam dalam air untuk mendapatkan bola yang dipukul dalam arah salah atau salah pukul untuk mencari rezeki.

Selama 22 tahun Sumadi berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia, ditempatkan di atas kapal-kapal yang mengawal perairan yang dipenuhi ikan yu di luar kepulauan Pasifik.

Kini dalam kegelapan malam, lelaki berusia 51 tahun itu merayau-rayau di padang golf pinggir bandar negeri Selangor di luar Kuala Lumpur, mengharung dalam kolam sambil memburu bola yang tersasar pada siang hari.

Pada setiap ekspedisi dia mengumpul antara 500 dan 600 biji bola golf – menjual hasil pungutannya kembali kepada pemain golf kecewa yang kehilangan bola mereka.

Dengan era pelayarannya di belakangnya, Sumadi boleh memilih kehidupan yang lebih konvensional.

Sumadi Ibrahim bergambar bersama bola golf dalam baju selamnya yang ditemui dalam sebuah kolam di padang golf. – AFP
Sumadi Ibrahim menjual bola golf dikitar semula kepada penggemar golf di tepi jalan di luar padang golf Shah Alam. – AFP
Sumadi Ibrahim menunjukkan bola golf yang dijumpainya dalam sebuah kolam di padang golf di Shah Alam. – AFP
Sumadi Ibrahim membawa bola golf yang dikutipnya dari kolam. – AFP
Gambar AFP
Meletakkan bola golf dalam jaring. – AFP

Tetapi dia tidak dapat menahan pekerjaan menyelam itu – walaupun jika kolam padang golf hanya sedalam dua meter.

“Saya sudah biasa berada di dalam laut,” katanya sambil menampakkan senyuman nostalgia terukir pada wajahnya.

BERPANDUKAN CAHAYA BULAN

Sumadi pertama kali mendengar tentang kerja menguntungkan ‘menyelam mendapatkan bola golf’ dalam perbualan santai bersama rakan-rakan.

Tertarik dengan prospek itu, bapa kepada tiga anak itu memanfaatkan kemahiran kepakarannya – memasuki air keruh buat kali pertama pada 2012. Sejak bersara pada 2014, ia telah menjadi sumber pendapatan utamanya.

Tiga malam setiap minggu, apabila padang golf hijau diselubungi dalam kegelapan, Sumadi memburu bola dalam balaclava bunga.

“Saya tidak membawa lampu suluh. Hanya cahaya bulan yang menjadi sumber cahaya saya,” katanya sambil ketawa kecil.

“Saya menggunakan tangan sebagai ‘pengelap’. Apabila tangan dan kaki saya bersentuhan dengan objek tertentu, saya dapat mengetahui sama ada ia bola atau sebaliknya.”

Tanpa menggunakan peralatan pernafasan, dia mengumpul bola dengan memasukkannya ke dalam baju lengan panjangnya – keluar dari air dengan bola-bola berkenaan berkelompok dan melantun di sekeliling perutnya.

Kerjanya sekarang mungkin kelihatan kurang berisiko berbanding pekerjaan lalunya sebagai tentera, tetapi ia mempunyai cabaran tersendiri.

Airnya sejuk dan gelap, menguji ketahanan fizikal dan juga mentalnya.

“Tasik itu sering menjadi tempat mendapan duri sawit, serpihan dan cangkerang siput yang pecah. Airnya gelap jadi saya sering memijaknya,” katanya.

“Saya sentiasa bimbang akan mengalami kekejangan. Jadi untuk mengurangkan risiko, saya mengupah pembantu sambilan untuk mengawasi semasa saya menyelam,” tambahnya.

“Jika sesuatu berlaku, seperti saya tersepit atau cedera, sekurang-kurangnya ada seseorang untuk membantu saya.”

Bayaran gajinya adalah pada setiap hari Sabtu apabila dia mendirikan gerai sederhana di pintu masuk padang golf pada pukul 8 pagi, menjual barangannya dalam bungkusan terdiri daripada 20 biji bola golf.

Dipamerkan di rak sementara dan dalam bakul, bola standard dijual pada harga serendah 0.70 ringgit (AS$0.16) setiap satu manakala jenama premium berharga sehingga enam ringgit (AS$1.35).

Kerja-kerja Sumadi membantunya menjana pendapatan sehingga 8,000 ringgit (AS$1,800) setiap bulan – hampir tiga kali ganda purata gaji bulanan rakyat Malaysia yang bekerja secara rasmi, menurut data Jun dari biro perangkaan negara itu.

MENYELAM HIJAU

Sukan golf telah lama dikritik disebabkan kesan alam sekitar – membersihkan kawasan tanah gersang atau yang belum dibangunkan untuk memberi laluan kepada halaman rumput yang biasanya dipelihara untuk golongan elit dan memerlukan air penyiraman yang banyak.

Sumadi tidak mendakwa dirinya sebagai pencinta alam sekitar.

Tetapi dengan mengeluarkan beribu-ribu bola golf yang mengandungi plastik dan getah daripada ekosistem, dia telah membuat sumbangan kecilnya sendiri kepada kelestarian alam sekitar.

Antara pelanggannya ialah ahli perniagaan Gilbert Tan, pemain tetap di padang golf tempat dia menyelam.

“Saya telah membeli bola golf terpakai daripada Sumadi beberapa kali,” kata Tan, 30 tahun.

“Seperti yang awda tahu, plastik sebenarnya tidak boleh terbiodegradasi. Jadi dengan saya membeli bola kitar semula, saya melakukan peranan saya untuk membantu alam sekitar,” tambahnya.

Sumadi merendah diri tentang impaknya tetapi bangga mempengaruhi tugasnya di bawah air.

“Saya menganggap padang golf sebagai rumah saya sendiri. Saya akan terus menyelam selagi saya mampu,” katanya. – AFP

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda