Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menyelam menerokai bangkai kapal Gallipoli

    GALLIPOLI, TURKI – Badan kapal perang gergasi menyambut penyelam di luar pantai barat Turki, bukti pertempuran Perang Dunia Pertama yang melahirkan negara itu dan kini menjadi sebuah muzium di bawah permukaan air.

    Kapal Tentera Laut Diraja British ‘HMS Majestic’ adalah sebuah daripada 15 bangkai kapal di Gallipoli, sebuah semenanjung yang telah menjadi tanah kubur kelasi sejak dari dulu lagi.

    Pertempuran terakhir di Selat Dardanelles bermula dari Mediterranean ke arah Rusia merupakan satu kegagalan untuk tentera British dan Perancis, yang berundur selepas pertempuran berbulan lamanya yang meragut puluhan ribu nyawa.

    Pihak Bersekutu akhirnya menang dalam peperangan itu, namun pengorbanan mereka dalam pertempuran 1915 menjadi satu ujian dalam penubuhan semangat kenegaraan di Turki, Australia dan New Zealand.

    Turki Baharu, di mana sejarah dan politik nampaknya saling berkaitan, sedang membuka tapak muzium kepada penyelam dunia – tepat pada masanya untuk perayaan ke-100 tahun negara pada 2023.

    Seorang pelawat melihat peralatan selam Tentera Laut Diraja di Rumah Api Mehmetcik, di mana sebahagian daripada kapal perang karam dalam kempen Gallipoli Perang Dunia Pertama di Canakkale. – AFP

    Pelawat berjalan ke pantai berhampiran Rumah Api Mehmetcik, di mana sebahagian daripada kapal pertempuran tenggelam dalam Kempen Gallipoli Perang Dunia Pertama. – AFP
    Penyelam bergambar di atas sebuah bot di Taman Sejarah Gallipoli di luar pantai Seddulbahir di Canakkale. – AFP

    “Ia bagaikan mesin masa yang membawa awda kembali ke Perang Dunia Pertama 1915,” kata Savas Karakas, penyelam dan penerbit filem dokumentari yang merupakan salah seorang yang pertama memeriksa bangkai kapal apabila muzium dibuka kepada orang awam bulan Oktober lalu.

    “Ia adalah satu peluang yang baik untuk kami mengenang kembali era lampau kami,” kata jurugambar bawah air profesional Ethem Keskin tentang bangkai kapal tersebut, sesetengahnya terdampar beberapa meter di bawah laut dan yang lainnya sehingga 80 meter dalam.

    “Saya kenangkan mengenai saat-saat kapal tersebut tenggelam dan awda terasa stres peperangan.”

    Turki mahu Gallipoli menjadi destinasi baharu untuk dikunjungi oleh penyelam yang berusaha menghubungkan peristiwa yang membentuk dunia sekarang.

    Tempat popular lain termasuk Lagun Chuuk di Papua New Guinea – terkenal dengan kapal karam Perang Dunia Kedua – dan Bikini Atoll di Pulau Marshall, yang masih menderita daripada kesan ujian nuklear Amerika Syarikat pada tahun 1940an dan 50an.

    “Kini Gallipoli sudah menjadi satu alternatif,” menurut Karakas. “Ia adalah sejarah, dan setiap bangkai kapal adalah seperti pingat dalam koleksi kami.” Tentera Bersekutu meranduk ke pantai semenanjung pada awal kempen untuk merampas Dardanelles daripada Empayar Ottoman, yang telah pun berada dalam ambang kejatuhan.

    Pertempuran bermula pada 25 April 1915, membabitkan tentera Bersekutu dari Perancis, Britain, Australia dan New Zealand menentang tentera Ottoman dan Jerman.

    Pihak Bersekutu berhasrat menjamin laluan bekalan ke Rusia dan menakluki Konstantinopel, seperti yang dikenali oleh Istanbul apabila ia menjadi ibu negara empayar Ottoman dan Byzantium. Mereka menyerah diri selepas peperangan sengit hampir sembilan bulan di mana lebih 100,000 orang terbunuh dari semua pihak, menurut anggaran berlainan.

    Tarikh 25 April masih diiktiraf sebagai Hari Anzac di Australia dan New Zealand, dengan tentera Kor kehilangan kira-kira 11,000 nyawa dalam kempen tersebut.

    “Saya menyelam ke dalam bangkai kapal bersama seorang warga Australia: kapal karam yang mungkin tidak menimbulkan minatnya,” kata pengajar selam Ercan Zeybek. “Ia merupakan saat yang emosi bagi dirinya.”

    Akses ke bangkai kapal memerlukan permit khas sehingga 2017, apabila Ismail Kasdemir, yang mengetuai Tapak Sejarah Canakkale di kawasan itu, mulai mengemukakan idea untuk membuka dasar laut itu kepada orang awam.

    “Terdapat sejarah dan harta karun yang terdampar di bawah air lebih daripada 100 tahun,” katanya. “Komuniti selam berasa ingin tahu.”

    Canakkale telah pun menarik pelancongan global yang berminat dengan peninggalan bandar legenda Troy, yang terletak di tebing sungai timur Dardanelles.

    “Awda boleh terhidu sejarah di atas permukaan air,” beirtahu Derya Can, yang telah mencatat pelbagai rekod menyelam, kepada AFP pada pelancaran taman dalam air itu.

    “Sekarang, penyelam berupaya meninjau sejarah di bawah permukaan air.” Bagi penerbit filem Karakas, sejarah itu juga bersifat peribadi memandangkan namanya Savas (bermakna ‘perang’ dalam bahasa Turki) menghormati kempen Gallipoli, di mana datuknya mengalami kecederaan.

    “Tangannya terbakar dan saya berasa amat takut apabila saya masih kecil. Setiap kali dia menyentuh saya, saya akan melihat pada tangannya dan rasa agak pelik,” katanya.

    “Apabila saya menyelam, saya terkenangkan tangannya. Besi berkarat terasa seperti tangan yang terbakar akibat peluru meriam dari kapal berkenaan, maka ia seperti memegang tangan datuk saya.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda