JAUH di dalam sebuah hutan di kawasan Timur Indonesia, sekumpulan pengamat burung kelihatan sedang menunggu dengan bersungguh-sungguh untuk berharap agar dapat melihat beberapa ekor burung ‘Syurga’ yang sangat terkenal di negara itu.
Burung ini pernah menguasai beberapa hutan di kawasan Papua namun disebabkan pemburuan haram dan penebangan hutan yang berleluasa telah mengurangkan bilangan burung ‘Syurga’ ini. Para pelancong yang bertuah akan berpeluang menyaksikan burung ini dan baru-baru ini, sekumpulan pelancong telah beruntung kerana dapat menyaksikan burung itu sendiri di sebuah desa Malagufuk yang terpencil, seekor burung cendawan raja merah dapat dilihat berlegar di sebuah pokok.
Ladang-ladang pertanian yang mana merupakan satu cara untuk meningkatkan ekonomi masyarakat telah berkembang pesat khususnya di kawasan Papua. Namun sesetengah penduduk kampung dan juga organisasi pemuliharaan telah memberikan amaran bahawa situasi ini sedikit sebanyak akan memusnahkan hutan dan juga habitat-habitat burung yang mendiami kawasan perhutanan di kawasan itu. Perkembangan pesat itu boleh mendorong kepada kepupusan burung-burung ‘Syurga’ ini. Apa yang pasti, bilangan burung-burung ini sudah semakin berkurangan di Papua disebabkan oleh pemburuan haram, dibunuh dan digunakan untuk hiasan.
Pihak berkuasa telah melarang penjualan spesies ini namun masih terdapat perdagangan haram yang berkembang maju kerana permintaan antarabangsa yang tinggi.
Pihak berkuasa di Indonesia telah mengharamkan jualan burung-burung ini namun tidak banyak usaha dilakukan untuk menghalang proses perdagangan haram itu.
“Pada hari ini, ancaman itu bukanlah sekadar memburu hidupan liar, namun juga terhadap pembalakan haram. Penukaran hutan kepada ladang kelapa sawit dan koko adalah satu ancaman yang sangat besar,” kata pemerhati burung, Charles Roring kepada wartawan AFP.
Hutan hujan Indonesia adalah habitat kepada 41 spesies burung-burung dan menurut Roring, 37 daripadanya boleh didapati di kawasan hutan-hutan Papua. Burung-burung ini digolongkan daripada burung ‘Bird of Paradise’ yang mendiami kawasan rendah hutan malah dapat dikenali melalui bulunya yang berwarna kuning dan juga putih kepada beberapa ekor burung eksotik yang lain.
Dikagumi kerana warna burung itu yang menarik, burung-burung ini juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri namun terperangkap dalam situasi perdagangan haram malah dibunuh hanya untuk dijadikan sebagai perhiasan.
Burung ini dikatakan pernah menawan benua Eropah selepas sahaja para penjajah abad ke-16 menggunakan kulit burung ini dan dilekatkan pada tongkat mereka manakala bulunya yang berwarna-warni masih menjadi penambahan terkenal terhadap hiasan busana adat suku kaum Papua seperti hiasan di kepala.
Pegawai program di trafik NGO alam sekitar, Serene Chng berkata bahawa burung liar ini di seludup ke bahagian lain di Indonesia dan juga Asia Tenggara.
“Keupayaan penguatkuasaan undang-undang sangat terhad malah cabaran termasuk permintaan daripada pengguna, rasuah, pengawasan yang lemah serta kurangnya sokongan daripada pelbagai agensi seperti syarikat penerbangan, perkhidmatan pengangkutan dan lapangan terbang,” tambah Serene lagi kepada wartawan media.
Penyelesaian ekopelancongan
Di Sorong, iaitu salah sebuah bandar terbesar di provinsi Papua Barat di Indonesia, penjual cenderahati memberitahu wartawan AFP bahawa hiasan kepala tradisional yang diperbuat daripada bulu burung berkenaan boleh dijual sebanyak 1.5 juta rupiah
(AS$112). Papua merupakan rumah kepada satu pertiga kawasan hutan rimba di Indonesia namun bilangan itu akan berkurangan disebabkan oleh arus perkembangan negara itu yang semakin membangun.
Menurut ahli alam sekitar Max Binur dari NGO Belantara Sorong bahawa syarikat-syarikat minyak sawit telah mula beroperasi berdekatan dengan kampung Malagufuk kira-kira tiga tahun yang lalu. Binur turut mengetahui bahawa penduduk kampung sebenarnya merasa bimbang jika syarikat itu akan memusnahkan hutan sekeliling dan cara tradisional mereka malah penduduk kampung mencadangkan penyelesaian yang mana bagi Binur akan berupaya untuk melindungi burung dan juga hutan mereka. Binur membantu menjadikan Malagufuk menjadi sebuah kawasan perlindungan burung-burung dan memberikan perkhidmatan kepada pelancong-pelancong.
Sehingga ke hari ini, sekitar 20 pelancong telah melawat kawasan tersebut untuk melihat kehadiran burung-burung eksotik dan beberapa burung yang lain seperti Cassowary dan Hornbill.
Para pengunjung dikehendaki untuk mengembara dua jam melalui hutan untuk sampai di kawasan perkampungan itu yang mana mempunyai tenaga elektrik yang sangat terhad.
Binur turut merancang untuk melancarkan usaha yang sama di seluruh Papua dan berharap industri pelancongan akan membawa kepada pemuliharaan burung-burung terkenal ini di seluruh dunia dan penduduk tempatan. – AFP