Oleh Nurdiyanah R.
Apabila hati tulus berdamping dengan ayat-ayat suci Al-Quran, keindahannya dapat dirasai dalam diri.
Lantunan kalam Allah yang dibaca sama ada secara murattal mahu pun taranum, pastinya mampu menenangkan jiwa serta minda, lebih-lebih lagi dengan memahami makna-maknanya.
Hati yang keras akan menjadi lembut jika lidah sentiasa dibasahi dengan ayat-ayat suci Al-Quran, itulah antara kelebihan dan kebesaran kalam Allah apabila sering diamalkan dalam kehidupan sehari-hari.
Sebaik-baik amalan ialah mereka yang belajar dan mengajarkan Al-Quran, malah Allah SWT akan mengangkat martabat golongan yang membaca Al-Quran dengan dijanjikan pahala yang besar iaitu setiap satu huruf Al-Quran yang dibaca akan mendapat 10 ganjaran pahala.
Semangat juang dalam memartabatkan dan mengagungkan Al-Quran inilah yang seharusnya dimiliki oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk di sesebuah negara Islam.



Semai semangat cintakan Al-Quran
Dengan terdetiknya hati untuk melahirkan generasi celik Al-Quran di bumi Negara Zikir ini serta menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya tidak ada rakyat yang beragama Islam di negara ini yang tidak pandai membaca Al-Quran, maka salah seorang wanita tempatan telah bangkit bergerak aktif dalam mengetengahkan salah satu kegiatan berkebajikan menerusi menterjemah surah-surah pilihan di bawah syarikat rakaman persendiriannya yang dikenali sebagai Lia Khalifa Studio.
Selaku pengasas syarikat berkenaan, Dayang Siti Juliawati binti Johari atau lebih senang disapa Dayang Julia menjelaskan bahawa adapun terdetiknya hati untuk menjalankan perkhidmatan itu adalah bertujuan untuk membangkitkan semangat para pendengar khususnya dalam kalangan masyarakat di negara ini untuk mendalami ayat-ayat suci Al-Quran dalam menjalankan kehidupan sehari-hari.
Anak-anak pemangkin semangat
Meskipun masih baru dalam perkhidmatan yang lebih berkonsepkan keagamaan sebegini, Dayang Julia yang memegang peranan besar sebagai suara utama untuk menterjemahkan makna-makna setiap ayat dalam surah-surah pilihan berpandukan kitab suci (mashaf) Al-Quran tafsiran keluaran Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam itu menyatakan bahawa lebih 50 buah cakera padat (CD) terjemahan surah-surah pilihan kepada Bahasa Melayu telah dihasilkan dan diketengahkan kepada orang ramai di negara ini.
“Manakala bacaan alunan ayat-ayat suci Al-Quran diperolehi daripada aplikasi rangkaian tertentu dengan memilih gari-qari yang ternama,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan rasa syukurnya apabila kedua-dua anaknya turut menjayakan perkhidmatan rakaman tersebut iaitu Awang Mohd Aniq bin Haji Aziz mengendalikan bahagian penyuntingan dan Awang Mohd Aniq Izzan bin Haji Aziz pula bertanggungjawab untuk mengawal mutu vokal dan bunyi.
“Merekalah juga pencetus semangat saya, di samping sokongan yang teguh daripada kedua ibu bapa yang tersayang,” tambah insan bersemangat tinggi ini dengan nada penuh kesyukuran.
Pelbagai program keagamaan bakal diketengahkan
Wanita yang bertugas sebagai penyambut tetamu operator telefon di salah sebuah jabatan kerajaan itu turut menjelaskan bahawa antara surah pilihan yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu ialah Surah Al-Mulk, Ar-Rahman, Al-Bayyinah, Al-Kautsar dan Ad-Duha.
“Alhamdulillah segalanya dipermudahkan, dengan mendapat kebenaran dari Pusat Dakwah Islamiah sebelum diedarkan untuk pemasaran di kedai-kedai tempatan,” ujarnya lagi yang kini berusia 43 tahun.
“Jika ada kemahuan, di situ ada jalan. Itulah prinsip yang saya sentiasa semai dalam diri ini. Serlah bakat yang ada kerana segalanya anugerah dari Maha Pencipta namun apa yang pasti manfaatkanlah bakat dan kemahiran yang ada dengan sebaik-baiknya,” ucap Dayang Julia dengan penuh ketulusan yang mana turut berkongsi perancangan dalam meneruskan pelbagai program keagamaan menerusi perkhidmatan rakaman beliau seperti tausyeh, nasyid dan dikir marhaban selain menterjemahkan ayat-ayat suci Al-Quran bukan hanya di seluruh negara ini bahkan juga ke peringkat antarabangsa.