Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menyelami nurani di sebalik Dendam Aurora

    ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

     

    MENGGANDINGKAN Nabila Huda dan Ungku Ismail Aziz sebagai teraju utama, Dendam Aurora merupakan sebuah drama bersiri yang diadaptasi daripada telenovela Itali berjudul Tuscan Passion.

    Siri drama sebanyak 100 episod yang diarahkan oleh Feroz Kader dan Riza Baharudin ini turut dibintangi oleh Anzalna Nasir, Shah Iskandar, Dian P Ramlee, Dato’ Eizlan Yusof, Tony Eusoff, Fezrul Khan, Aedy Ashraff, Octavia Manrose, Emilie Haniff, Mia Nasir, Zila Bakarin, Adam Lee, Nikki Palikat, Dato’ Sri Raja Rezza Shah, Marissa Yasmin, Alex Yank, Chew Kin Wah, Sharifah Shahora, Zuraini Kassim, Hafiz Halim dan Yuzz Murai.

    Ia mengisahkan mengenai seorang wanita bernama Aurora Abdullah lakonan Nabila Huda yang dipenjarakan selama lapan tahun di atas kesalahan membunuh.

    Aurora kemudiannya dibebaskan lebih awal dari waktu ditetapkan kerana berkelakuan baik.

    Walaupun ditegah oleh neneknya Octavia Milner lakonan Dian P. Ramlee, Aurora tetap mengambil keputusan untuk pulang ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang setelah dibebaskan demi membersihkan namanya dan nama keluarganya yang telah tercalar setelah dia dituduh membunuh Dato’ Hamzah lakonan Tony Eusoff.

    Kemunculan semula Aurora di Tanah Rata membuatkan keadaan menjadi tegang yang mana semua orang terkejut dengan kehadirannya terutama Harris lakonan Ungku Ismail Aziz, yang merupakan bekas kekasih Aurora dan juga anak kepada Dato’ Hamzah.

    Pada waktu itu, Harris yang juga pemilik ladang Teh besar di Tanah Rata sudah ditunangkan dengan Putri Adrina lakonan Anzalna Nasir, bakal pewaris kepada Engku Azhar lakonan Dato’ Eizlan Yusof, pemilik ladang sayuran terbesar di Malaysia.

    Aurora terkejut apabila mengetahui yang perniagaan keluarganya kini menanggung hutang yang banyak dan dipinggirkan oleh orang kampung.

    Perusahaan teh mereka yang dijalankan Octavia semakin muflis. Dengan bantuan dan sokongan Ustaz Hakim lakonan Fezrul Khan, Aurora nekad untuk membangunkan perusahaan keluarganya.

    Kehadiran Aurora di Tanah Rata juga pada masa yang sama membuatkan pengusaha-pengusaha yang bersubahat dengan Engku Azhar bimbang jika rahsia kematian Dato’ Hamzah bocor. Mereka nekad untuk memastikan kehidupan Aurora terus sukar dan rahsia mereka tidak diketahui sesiapa.

    Didorong rasa benci, Haikal Hamzah lakonan Shah Iskandar pula ingin membalas dendam kepada Aurora di atas pembunuhan ayahnya.

    Hasil siasatannya, beliau mendapat tahu bahawa Aurora tidak bersalah. Rasa kesal dan malu ini membawa kepada perasaan cinta pada diri dan semangat perjuangan Aurora. Manakala Harris yang sudah ditunangkan dengan Putri Adrina pula pada masa yang sama semakin cemburu dengan adiknya yang semakin rapat dengan Aurora.

    Engku Azhar pula gembira dengan perkembangan hubungan Haikal dan Aurora kerana beliau sudah lama tidak menyukai Harris.

    Walau bagaimanapun, beliau terpaksa merestui dan akur dengan keputusan anak kesayangannya Putri Adrina yang tetap berkeras untuk berkahwin dengan Harris.

    Perkahwinan Harris dan Putri Adrina merumitkan lagi konflik di antara tiga keluarga besar di Tanah Rata tersebut.

    Lalu, apakah kesudahan siri drama yang sarat dengan konflik ini dan sekiranya anda ingin mengetahui kesudahannya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Dendam Aurora yang ditayangkan di slot Tiara, setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang di saluran Astro Prima 105 dan Maya HD 135.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda