Khamis, November 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menyelami realiti kehidupan OKU

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Dengan matlamat untuk memahami realiti kehidupan orang kelainan upaya (OKU) melalui simulasi interaktif dan latihan praktikal, Kumpulan Nadi Asy-Syura melalui Program Eksekutif Muda Kohort 10 (YEP-10), Institut Perkhidmatan Awam telah menganjurkan sebuah projek khidmat masyarakat bertajuk, Shift Your Perspective, yang berlangsung di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Kumpulan berkenaan yang terdiri daripada enam ahli menyatakan program tersebut memberi peluang kepada peserta dan pihak berkepentingan untuk mengalami sendiri cabaran fizikal dan sosial yang dihadapi oleh OKU melalui simulasi praktikal.

    Menurut wakil kumpulan berkenaan, Awang Mohd Syazani bin Suhaimi menerangkan menerusi inisiatif itu, mereka berharap untuk mengubah persepsi masyarakat dan menggalakkan penglibatan yang lebih aktif dalam kalangan sektor awam, swasta serta penggubal dasar.

    “Kami ingin menyemai kesedaran yang diterjemahkan kepada tindakan nyata, dengan tujuan utama untuk memastikan tidak ada sesiapa yang ketinggalan dalam kemajuan negara.”

    Awang Mohd Syazani menyatakan harapan utama mereka adalah supaya mesej projek itu dapat menyentuh hati masyarakat dan agensi berkepentingan melalui pendekatan visual dan naratif yang memberi kesan.

    Salah seorang peserta semasa mengalami sendiri cabaran fizikal dan sosial yang dihadapi oleh OKU melalui simulasi praktikal. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Para peserta menyertai aktiviti yang dikendalikan semasa Program Shift Your Perspective, yang diadakan di Taman Mahkota Jubli Emas, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    “Kami ingin meningkatkan kesedaran terhadap cabaran harian golongan OKU bukan sahaja dari sudut fizikal, malah juga sosial, ekonomi dan psikologi.

    “Kami juga berharap projek ini dapat menjadi pencetus kepada tindakan yang lebih inklusif seperti peluang pekerjaan, pendidikan yang inklusif, infrastruktur mesra OKU dan dasar yang lebih adil,” tambahnya.

    Selain itu, ia diharapkan dapat memberi lebih banyak pendedahan kepada OKU mengenai akses latihan, pekerjaan dan sokongan sedia ada.

    “Kami ingin melihat terbinanya jaringan sokongan yang kukuh antara masyarakat, sektor awam dan swasta, serta peningkatan empati melalui dialog terbuka bersama pembuat dasar. Segalanya bermula dengan kesedaran dan diteruskan dengan tindakan.”

    Program berkenaan mengetengahkan empat stesen di mana Stesen 1 iaitu simulasi cabaran pendengaran menggunakan penutup telinga dan aktiviti menggunakan bahasa isyarat yang dikendalikan oleh Jari-jariku Global, Stesen 2 iaitu simulasi cabaran penglihatan menggunakan penutup mata dan tongkat orang buta, Stesen 3 iaitu simulasi cabaran mobiliti menggunakan tongkat serta Stesen 4 iaitu simulasi cabaran mobiliti menggunakan kerusi roda.

    Program itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai melihat realiti kehidupan dari perspektif golongan OKU dan memastikan bahawa pemahaman dan pengalaman yang diperoleh bukan setakat teori, tetapi benar-benar dihayati.

    Matlamat program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran serta memperdalami pemahaman mengenai keperluan golongan OKU, seperti akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan, dan infrastruktur yang inklusif.

    Orang awam yang menyertai program simulasi itu juga telah diberikan pelbagai hadiah yang terdiri daripada barangan hasil buatan pelajar berpendidikan khas, baucar hadiah dan barangan cenderamata daripada syarikat penaja.

    Turut dianjurkan ialah set aktiviti bagi peserta kanak-kanak di ruangan khas kanak-kanak, dimana mereka juga turut berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah.

    Program Shift Your Perspective merupakan salah satu inisiatif yang memberi impak besar dalam memupuk masyarakat yang lebih inklusif, yang mana golongan OKU adalah dihargai bukan hanya kerana cabaran yang mereka hadapi, tetapi juga atas sumbangan berharga mereka kepada komuniti.

    Kumpulan Nadi Asy-Syura kekal komited untuk menyokong penyertaan golongan OKU dalam setiap aspek sosial dan akan terus berusaha memastikan peluang dan ruang yang setara diberikan kepada setiap individu agar mereka akan dapat terus berkembang dan memberikan sumbangan yang bermakna dari segala aspek.

    Seiring dengan itu, acara itu juga diharapkan dapat memastikan golongan OKU sentiasa aktif terlibat dalam kemajuan negara. Peluang yang setara haruslah diberikan supaya mereka turut dapat memberikan sumbangan yang bermakna ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 dan kemajuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

    Turut serta dalam acara berkenaan ialah Jari-Jari Ku Global yang menganjurkan aktiviti bahasa isyarat serta kumpulan SuperMaBah daripada program YEP-10 yang mempamerkan toolkit digital panduan keibubapaan berasaskan ajaran Islam bertajuk, Parenting with Purpose: An Islamic Parenting Guide for Early Childhood (Ages 0-4).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda