ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
NOVEL Find You In The Dark adalah sebuah novel thriller penampilan sulung daripada penulis Nathan Ripley.
Novel ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Martin Reese yang mempunyai hobi yang pelik. Dia menggali mayat mangsa-mangsa pembunuhan. Martin membeli fail-fail polis mengenai kes-kes pembunuhan berantai yang telah dicuri dan menggunakannya untuk mencari dan menggali mayat-mayat mangsa yang telah hilang.
Setiap kali Martin menemukan mayat-mayat tersebut, dia akan mendedahkan penemuannya tanpa memberikan identitinya, mengejek pihak polis atas kegagalan mereka dalam menjalankan tugasan.

Detektif Sandra Whittal berasa bengang dengan kelakuan itu. Dia menyimpan syak wasangka terhadap si pemanggil misteri itu, yang dinamakannya sebagai ‘the Finder’. Berkemungkinan lelaki itu yang meninggalkan mayat-mayat itu di sana dan jika bukan, siapakah yang akan menjamin bahawa dia tidak akan berbuat demikian di masa hadapan?
Dengan penyiasatan Whittal yang semakin menghampiri untuk membongkar identiti the Finder, Martin telah menemukan sesuatu yang lebih mengejutkan. Sepertinya terdapat seseorang yang berbahaya yang berasa kurang senang dengan penemuan mayat-mayat tersebut.
Diburu oleh pihak polis, diburu oleh pembunuh, demi menyelamatkan dirinya dan menjaga keselamatan keluarganya sendiri, Martin mungkin harus pergi lebih jauh ke dalam dunia pembunuh lebih daripada apa yang dijangkakannya sendiri.