Thursday, July 17, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menyemai konsep kesatuan dalam kepelbagaian

    KOTA KINABALU – Sambutan Hari Malaysia pada 16 September yang lalu, rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya serta berbeza latar belakang agama sekali lagi diingatkan tentang kepentingan penghayatan konsep kesatuan dalam kepelbagaian.

    Penghayatan itu perlu terus diperkasa dalam diri dan sanubari setiap warganegara Malaysia kerana ia adalah azimat yang berupaya memperkukuh semangat perpaduan sekali gus melahirkan rakyat bertoleransi, hormat menghormati, berjiwa besar selain memahami dan menerima antara satu sama lain.

    Sikap keterbukaan rakyat dalam meraikan kepelbagaian dan menerima perbezaan adalah penting bagi memastikan ‘bahtera’ Malaysia dapat dilayari dengan lebih harmoni sepanjang perjalanan menuju destinasi menjadi negara maju, kata Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, Dr Abd Hakim Mohad.

    Beliau berkata 16 September adalah tarikh keramat yang menyaksikan pembentukan Malaysia pada tahun 1963 sekali gus permulaan kepada kesatuan dalam kepelbagaian.

    “Masyarakat yang ada pada hari ini adalah hasil daripada pembentukan Malaysia menjadi sebuah negara pada 16 September. Justeru, tarikh ini sewajarnya dinilai sama berat dengan Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun,” katanya.

    Sabah adalah negeri contoh sekali gus model terbaik konsep kesatuan dalam kepelbagaian kerana kemesraan juga keakraban masyarakat negeri ini.

    Kepelbagaian adalah kekuatan Malaysia

    Abd Hakim berkata kewujudan masyarakat berbilang kaum dengan pelbagai latar belakang budaya dan agama di Malaysia adalah kekuatan untuk terus menjadi negara bangsa yang tidak hanya maju tetapi menjadi contoh kepada dunia luar.

    Menurutnya, kepelbagaian itu juga memberi kelebihan kepada Malaysia kerana ia mampu menjadi medan memantapkan lagi integrasi kaum selain melahirkan masyarakat matang yang tidak melihat bangsa lain sebagai musuh sebaliknya saudara dan sahabat.

    “Bahtera adalah anologi paling tepat menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara. Kepelbagaian itu memberi kekuatan kerana setiap orang akan menampung kekurangan yang ada pada orang lain. Negara ini harus dijaga bersama. Jangan ada cuba membocorkan ‘bahtera’ itu. Jika ada konflik, perbezaan atau sebagainya perlu diselesaikan secara musyawarah.

    “Jika kita berjaya membina sebuah ‘bahtera’ Malaysia yang lebih baik, maka, pelayaran akan lebih sempurna dan membolehkan masyarakat mengecapi kebahagian,” katanya.

    Beliau berkata segala apa dilalui Malaysia selama ini adalah bukti pentingnya penghayatan konsep kesatuan dalam kepelbagaian itu disegar-bugarkan dalam minda dan jiwa rakyat kerana masing-masing telah memberi kekuatan yang ada untuk kejayaan negara tercinta.

    “Dahulu kita negara pertanian dan kemudian beralih kepada negara industri. Negara telah meletakkan Wawasan 2020 dan sekarang Transformasi Nasional 2050 (TN50). Semua ini adalah destinasi dan hala tuju ‘bahtera’ Malaysia,” katanya, dan menjelaskan kepelbagaian akan menjadikan masyarakat lebih rencam serta bersifat positif yang seterusnya membentuk ‘fabrik’ sosial yang kuat.

    Mengambil contoh temasya Sukan SEA ke-29 baru-baru ini, Malaysia tidak hanya bergelar juara keseluruhan dengan memperoleh 145 pingat emas, tetapi pencapaian gemilang apabila Malaysia berjaya menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa, budaya, agama dan fahaman politik dalam acuan kesatuan dalam kepelbagaian untuk bersama-sama menyokong pasukan negara.

    Penghayatan itu perlu terus diperkasa dalam diri dan sanubari setiap warganegara Malaysia kerana ia adalah azimat yang berupaya memperkukuh semangat perpaduan sekali gus melahirkan rakyat bertoleransi.
    Sikap keterbukaan rakyat dalam meraikan kepelbagaian dan menerima perbezaan adalah penting bagi memastikan ‘bahtera’ Malaysia dapat dilayari dengan lebih harmoni.

    Sabah model terbaik

    Abd Hakim berkata Sabah adalah negeri contoh sekali gus model terbaik konsep kesatuan dalam kepelbagaian kerana kemesraan juga keakraban masyarakat negeri ini seperti satu keluarga, meskipun berbeza kaum, budaya dan agama, namun tetap menghormati sensitiviti masing-masing.

    Beliau berkata sikap keterbukaan orang Sabah telah membentuk jatidiri mereka untuk sentiasa menerima kehadiran sesiapa sahaja dan hal itu menjadi faktor ramai rakyat Malaysia dari luar Sabah jatuh hati dengan kedamaian dan kemesraan hidup bermasyarakat di negeri ini.

    “Masyarakat Sabah adalah sebuah masyarakat yang tinggi tahap penerimaannya terhadap kehadiran sahabat daripada kaum lain. Ini mungkin disebabkan oleh kepelbagaian kaum, budaya dan agama dalam satu keluarga yang meninggikan lagi semangat kekitaan antara mereka. Keterbukaan ini menjadi aset kepada kemakmuran dan keamanan di negeri ini. “Ini perlu dikekalkan dan jika formula keharmonian serta perpaduan itu boleh diamalkan di negeri lain di Malaysia, saya rasa itu sesuatu yang bagus,” jelasnya.

    Abd Hakim berkata walaupun Sabah kini mengalami pelbagai perubahan fizikal kerana banyak pembangunan dibawa ke negeri itu, namun, aspek keharmonian dan kesatuan rakyatnya tetap teguh dan dalam masa sama masih mengekalkan identiti mereka.

    “Tidak dinafikan cabaran itu ada kerana kini semua terdedah dengan media sosial, namun, saya melihat orang Sabah tidak termakan apa-apa unsur tidak baik yang boleh mencemarkan keharmonian kerana mereka sudah terdidik sejak kecil tentang perpaduan, keterbukaan dan penerimaan,” katanya.

    Hargai keharmonian

    Dalam pada itu, Abd Hakim turut mengingatkan masyarakat Malaysia supaya terus menghargai serta memelihara keharmonian dinikmati hari ini supaya terus kekal selain memperkasa perpaduan sebagai rakyat 1Malaysia.

    “Setinggi mana pun pencapaian kita (negara) dalam aspek pembangunan fizikal, sains dan teknologi, tetapi jika kita ada masalah dari segi keharmonian dan keamanan, semua pencapaian itu boleh musnah dalam sekelip mata. “Atas sebab itu, kita mesti menghargai keharmonian dan keamanan yang dikecapi hari ini sekali gus memperkukuh lagi perpaduan sedia ada,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda