BANGLADESH – Sesiapa yang pernah meminati dunia solekan semasa zaman kanak-kanak pastinya dapat merasai kenangan menyolek kakak atau ibu saudara mereka buat kali pertama. Mereka akan dihujani dengan nostalgia berpura-pura seolah-olah mereka sedang melayani pelanggan sebenar dan berusaha untuk melaksanakan solekan wajah penuh dengan harapan penghargaan.
Bagi kebanyakan orang, minat itu semakin pudar. Walau bagaimanapun, ramai yang lain masih mengekalkan minat tersebut dan mengembangkannya hingga menjadi satu kemahiran. Hampir setiap jurusolek (dikenali sebagai MUA) dalam industri ini memulakan perjalanan mereka dengan cara yang serupa.
Walaupun minat tersebut mungkin pudar, terdapat satu perkara yang konsisten dalam perjalanan untuk membuktikan diri sebagai seorang artis, iaitu cabaran yang dihadapi.
Membuktikan diri dalam apa jua bidang seni adalah perjalanan yang panjang dan mengujakan. Mungkin ada sebahagian yang mengenali artis solek perintis di Bangladesh, Farzana Shakil dan Kaniz Almas, dan walaupun mereka telah menetapkan standard kejayaan dalam industri, artis solek generasi baharu menghadapi cabaran unik mereka sendiri.
PERANAN MEDIA SOSIAL
Pertama sekali, bilangan individu yang menceburi profesion ini kini semakin meningkat dan hakikatnya, para artis terpaksa meningkatkan kecekapan bukan hanya dalam seni solekan, bahkan juga kehadiran dalam dan luar talian.

– GAMBAR ORCHID CHAKMA


Di samping itu, peranan media sosial juga amat penting untuk perniagaan dan bagi kebanyakan artis solek atau jurusolek, ia boleh menjadi pengukur kejayaan. Mereka perlu memberi tumpuan kepada golongan muda, di mana interaksi dalam media sosial dengan kerap adalah signifikan. Generasi ini juga telah beralih daripada gaya solekan tradisional yang tebal dan lebih cenderung mencari inovasi. Kini ia bukan hanya tentang apa yang dianggap sebagai gaya yang baik, tetapi sebaliknya, gaya manakah yang dianggap dapat menonjolkan dan menggambarkan personaliti pelanggan mereka yang terbaik.
Bagi golongan muda dalam industri solekan yang telah membina reputasi mereka terutamanya melalui media sosial, cabaran menangani tekanan pelanggan yang semakin meningkat, kewangan yang terhad dan menyesuaikan diri dengan algoritma yang semakin rumit kebanyakannya perlu dihadapi sendiri, menjadikan usaha dalam profesion ini begitu mencabar.
Meskipun sukar, beberapa individu tetap berusaha gigih dan akhirnya berjaya serta berkembang maju jika mereka mempunyai sistem sokongan yang kukuh. Banyak keluarga yang tidak melihat kerjaya ini sebagai pilihan yang praktikal atau selamat dan lebih cenderung untuk memberi dorongan kepada anak-anak mereka untuk mengorbankan hasrat mereka demi pendidikan. Walaupun pencapaian akademik dianggap penting, namun mengimbangi kedua-dua aspek ini merupakan prospek yang sangat memuaskan.
Aneeka Bushra merupakan nama yang sangat dikenali dalam industri ini pada masa kini.
Walaupun dia telah menempa nama dan membuka studio sendiri di Dhanmondi, perjalanan kejayaannya tidak mudah. Mengimbau kembali pengalamannya, dia berkata “Menjadi seorang jurusolek, terutamanya pada usia muda, adalah seperti laluan yang berhalangan.
Ketika saya mula, menjadi seorang MUA bukanlah sesuatu yang biasa. Kerana tidak dianggap sebagai kerjaya yang betul, saya diajukan dengan banyak persoalan. Dalam beberapa tahun saya berdepan dengan keraguan, kekeliruan, dan kekecewaan. Walaupun demikian, pada akhirnya, ia memberi hasil yang bermakna bagi saya.”
Dia menambah, “Saya fikir konsisten adalah kunci penting. Pada akhirnya, ia bukanlah lagi soal wang atau pelanggan. Ia adalah mengenai seni awda dan kegembiraan kepuasan yang awda dapat daripada seni tersebut. Berpegang teguh pada gaya awda dan konsisten!”
Seperti dalam kehidupan secara keseluruhan, keistimewaan boleh menjadi faktor penentu kejayaan seorang jurusolek. Setiap individu mempunyai hasrat dan impian yang ingin dikejar, tetapi kenyataannya kehidupan sering kali menjadi penghalang. Seni solek biasanya merupakan hasil kerja sampingan atau kreatif bagi artis dan mungkin perlu mengambil kira keutamaan lain dalam kehidupan.
“Melainkan menjadi MUA sebagai pekerjaan sepenuh masa, kebanyakan daripada kita terpaksa menjalankan pekerjaan lain untuk membayar bil,” kata SuraChow, seorang artis muda di Instagram. Memiliki keistimewaan atau jaringan keselamatan bermakna bakal MUA mungkin tidak perlu bimbang tentang membayar bil atau mencari nafkah dan dapat memberi tumpuan kepada perkembangan seni mereka. Bagi orang tempatan, seni solekan masih dianggap sebagai sesuatu yang eksklusif dan tidak menguntungkan bagi kebanyakan individu baharu. Timbul banyak keraguan berkaitan dengan memberikan bantuan kewangan kepada usahawan seperti mereka, termasuk pinjaman dan lain-lain.
Bahan solekan dan peralatan yang diperlukan oleh MUA untuk usaha mereka adalah mahal dan penglibatan dalam media sosial juga tidak semestinya bermaksud mendapat lebih banyak komisen dan pelanggan untuk artis. Tambahan pula, sering kali pelanggan mengharapkan untuk membayar jurusolek dalam talian dengan bayaran yang lebih rendah, hanya kerana mereka menganggapnya tidak cukup ‘tradisional’. Oleh itu, mengekalkan perniagaan boleh menjadi isu dari segi kewangan bagi kebanyakan MUA.
LINGKUNGAN YANG BAIK
Selain daripada membantu jurusolek dengan lebih banyak masa dan peralatan untuk mengejar hasrat mereka, mempunyai lingkungan rakan yang baik juga boleh menjadi faktor penentu kejayaan bagi artis baharu. Seni solekan kini sering berkait rapat dengan media sosial dan bergaul dalam kalangan yang sesuai dapat memberikan keajaiban kepada pencipta. Mempunyai hubungan yang baik dapat membawa kepada lebih banyak pelanggan dan dikenali lebih ramai. Sebahagian kecil ada yang mendapat manfaat yang tidak seimbang daripada pengaruh dan hubungan, meninggalkan seluruh industri di belakang.
“Jika saya mempunyai kumpulan besar rakan atau keluarga yang berpengaruh, saya akan mendapat manfaat daripada hubungan mereka dan mungkin telah mendapat lebih ramai pelanggan,” sambung SuraChow. Walaupun dinamik kuasa yang tidak adil yang disebabkan oleh keistimewaan mungkin mengecewakan, lazimnya rintangan itu dapat diatasi melalui bakat dan ketekunan dalam usaha menuju kejayaan.
Internet adalah tempat yang luar biasa. Hasil daripada kehadiran media sosial di mana-mana, membentuk komuniti dan bersosial dalam talian adalah perkara biasa bagi kebanyakan orang muda.
Kewujudan pelbagai niche dan subkultur dalam talian, seperti TikTok solekan, membantu individu yang berminat untuk bekerjasama dan membina hubungan lebih lancar berbanding sebelumnya.
Natijahnya, jurusolek telah memanfaatkan komuniti dalam talian untuk meningkatkan perniagaan mereka. Banyak MUA secara perlahan-lahan telah menjadi terkenal melalui komuniti dalam talian dan niche. Untungnya bagi pencipta, kandungan pendek di Instagram dan TikTok adalah hartanah utama dengan pulangan pelaburan maksimum.
Satu pencarian mudah mengenai solekan di TikTok atau Instagram memberikan hasil yang tidak terbatas dan menghadapi risiko mengisi halaman For You dengan kandungan yang tidak terhingga. Sebagai hasilnya, para artis mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk ditemui dan diiktiraf jika mereka aktif di media sosial.
Pinky Peya, seorang MUA dan pempengaruh yang terkenal, mengakui sebahagian besar kejayaannya kepada media sosial, “Media sosial memainkan peranan besar dalam membantu saya membina reputasi dan mendapatkan begitu banyak pelanggan hebat dalam jangka masa yang begitu singkat.”
SOKONGAN DAN PENGHARGAAN
Selain itu, media sosial bukan hanya sekadar menjadi tular atau mendapat perhatian. Walaupun media sosial kelihatan dipenuhi dengan kritikan pada masa ini, masih ada sebahagian mikrokosmos komuniti yang bersifat positif. – ANN/The Star

