Oleh Nurdiyanah R.
Dengan segala limpah keizinan Allah SWT jua kini lebih dua minggu kita berpeluang meniti nikmat bulan suci Ramadan.
Kesyukuran dipanjatkan kerana memanjangkan usia dan memberi kesempatan kepada kita untuk terus melipatgandakan usaha dan amal ibadat bagi mendapatkan ganjaran pahala pada bulan yang penuh mubarak ini.
Dalam bulan ini terdapat peristiwa agung berlaku dalam sejarah Islam iaitu Nuzul Al-Quran atau turunnya kitab suci Al-Quran.
Sesungguhnya Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, dan pemberi penjelasan kepada manusia. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar dan Al-Quran juga dikenali sebagai An-Nur yang membawa maksud cahaya yang menerangi.
Selain berfungsi sebagai petunjuk, Al-Quran juga berfungsi sebagai penjelasan antara yang benar dan yang batil. Antara yang baik dan yang buruk. Begitu juga tentang perkara-perkara yang mesti dilakukan dan yang harus ditinggalkan, agar manusia tidak lagi berada dalam kegelapan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 sebagaimana tafsirnya;
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan yang salah.”
Dengan demikian juga umat Islam perlu yakin bahawa Al-Quran itu merupakan wahyu daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh itu menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam untuk mempercayai segala berita, suruhan dan larangan yang terkandung di dalamnya. Ini merupakan salah satu rukun iman yang keenam iaitu mempercayai kepada kitab Allah.
Menyingkap lembaran diturunkan Al-Quran
Dalam menyelami lembaran sejarah Islam, semestinya tarikh 17 Ramadan membawa makna yang besar kepada seluruh umat Islam, iaitu detik Nabi Muhammad SAW menerima ayat Al-Quran yang pertama yang diturunkan oleh Allah SWT menerusi perantaraan Malaikat Jibril.
Penurunan Al-Quran itu ada dua peringkat; pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia) dan kedua, dari langit dunia kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad SAW ditabalkan menjadi rasul sehingga Baginda wafat iaitu yang mengambil masa lebih 22 tahun.
Dalam tempoh tersebut, Al-Quran telah dihafal oleh Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat serta dicatat oleh para penulis Al-Quran.
Ayat Al-Quran yang mula-mula sekali diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat Al-Quran daripada Surah Al-‘Alaq dan kejadian itu berlaku ketika Baginda Rasulullah SAW sedang menyendiri untuk beribadah di Gua Hira sebagaimana tafsirnya;
“Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhan Yang Maha Pemurah.
Yang mengajarkan manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Sesungguhnya kandungan Al-Quran mencakupi dalam segala segi dan aspek kehidupan, sama ada hubungan manusia dengan Allah atau hubungan manusia dengan manusia seperti dalam hal peribadatan, sosial, ekonomi, budaya, politik dan sebagainya. Malah ayat-ayat suci itu juga menjadi ubat, penawar dan penyembuh kepada berbagai-bagai jenis penyakit.
Rebutlah peluang selagi masih bernafas
Sesungguhnya dengan membaca Al-Quran, kita akan mendapat ganjaran pahala yang amat besar lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.
Sememangnya terdapat banyak surah yang besar manfaatnya dan kelebihannya jika diamalkan.
Antaranya Surah Al-Waqiah, surah ini telah lazim diamalkan oleh umat Islam disebabkan fadilatnya yang amat besar. Sesiapa yang membaca surah ini pada tiap-tiap malam, akan terhindarlah ia daripada kepapaan selama-lamanya.
Manakala bagi sesiapa yang mengamalkan membaca Surah As-Sajdah pula akan mendapat pahala seperti sembahyang pada malam Lailatulqadar, dikurniakan nur (cahaya) pada dirinya ketika mati dan terlepas daripada seksa kubur.
Sesiapa yang membaca Surah Al-Mulk pula, dosanya akan diampunkan dan dimasukkan ke dalam Syurga dan sesiapa yang membaca surah ini pada setiap malam, maka akan terhindar daripada azab kubur.
Perlu diingat, walaupun beberapa surah dalam Al-Quran itu mempunyai kelebihan-kelebihannya yang tersendiri, janganlah kita hanya membaca surah-surah tersebut dan meninggalkan surah-surah yang lain kerana setiap satu huruf daripada Al-Quran yang dibaca itu ada pahalanya, ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Termidzi daripada Abdullah bin Mashud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda sebagaimana maksudnya;
“Barang siapa membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”
Hakikatnya, betapa banyaknya ganjaran pahala dan fadilat bagi mereka yang membaca Al-Quran, maka kita jadikanlah membaca Al-Quran itu sebagai amalan harian selagi masih dikurniakan nikmat rezeki bernafas di dunia yang sementara ini, bukannya amalan bermusim sekali setahun.
Jangan hanya pada bulan Ramadan saja kita rajin membaca Al-Quran akan tetapi di bulan-bulan yang lain kita lalai dengan kesibukan-kesibukan harian.
Oleh yang demikian, bersama-samalah kita terus memohon doa mudah-mudahan kita menjadi umat Islam yang sentiasa mencintai Al-Quran, selalu membaca dan menghayati serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang berjaya di dunia ini dan akan mendapat syafaat di akhirat nanti.