Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menyingkap kejayaan perniagaan Hajah Norinah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Lumrah kehidupan ada pasang surutnya begitulah jua dalam bidang perniagaan, meskipun banyak persaingan di luar sana, ia tidak mematahkan semangat Hajah Norinah binti Haji Rabaha, 41, untuk menjalankan perniagaan nasi katok demi mencari rezeki sehari-hari.

    Merupakan salah seorang peserta di bawah Program Usahawan Berkarih Yayasan sejak 2021, beliau tetap optimis dan yakin untuk mengetengahkan nasi katok istimewanya yang menjadi produk jualan utamanya serta kuih-muih seperti bingka, kek, biskut dan tart sebagai produk sampingan.

    Di bawah Syarikat Hajah Ainah Arif Enterprise, beliau turut dibantu oleh suaminya, Awang Irwan bin Haji Damit, 49 tahun dalam menguruskan jualan dari kediamannya yang terletak di Kampung Bolkiah B, selain mengambil tempahan menerusi platform aplikasi WhatsApp.

    Koleksi resipi ibu tersayang jadi panduan

    Ibu kepada empat orang anak lelaki yang mana tiga sudah bekerja dan seorang lagi masih bersekolah itu turut berkongsi bahawa kemahiran memasak yang diperolehi berasaskan pembelajaran sendiri kerana minat beliau yang mendalam pada bidang tersebut sejak usia remaja lagi.

    “Saya suka mencuba apa sahaja jenis masakan dan koleksi resipi yang ditinggalkan oleh Allahyarhamah ibu dan menjadi rujukan hingga sekarang terutamanya untuk menghasilkan kuih-muih Melayu. Begitu juga pembelajaran menerusi aplikasi YouTube serba sedikit dapat meningkatkan kemahiran dalam masakan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

    Hajah Norinah bersama suaminya, Awang Irwan tetap optimistik mencari rezeki berniaga sehari-hari dengan mengetengahkan produk jualan utamanya, nasi katok meskipun banyak persaingan di luar sana. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Sentuhan nasi katok Hajah Norinah dengan dua pilihan sambal iaitu sambal biasa dan pedas. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Hajah Norinah turut mengetengahkan kuih-muih seperti bingka, kek, biskut dan tart sebagai produk sampingan dalam perniagaannya. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Menurutnya, nasi katoknya dengan dua pilihan sambal iaitu biasa dan pedas sering menerima tempahan daripada penduduk kampung setempat termasuklah guru-guru sekolah berdekatan.

    Di samping itu, beliau turut menghantar sebahagian nasi katok berkenaan untuk dijual di Ruang Niaga Projek TUNAS di aras bawah, bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) setiap awal pagi pada waktu bekerja bersama-sama produk jualan peserta Usahawan Bakarih Yayasan yang lain dan juga golongan usahawan tempatan di negara ini.

    “Secara rutin, dalam anggaran 50 pek nasi katok telah dijual mengikut tempahan dan juga penghantaran ke petak jualan di Ruang Niaga Projek TUNAS dalam sehari,” kongsinya lanjut dengan nada kesyukuran.

    Sokongan Yayasan, Pemangkin Semangat

    Menyentuh mengenai penyertaannya dalam Program Usahawan Berkarih Yayasan itu, Hajah Norinah bersyukur, peluang untuk menerokai bidang keusahawanan itu bertambah berkobar-kobar, lebih-lebih lagi ketika menerima sokongan daripada pihak Yayasan untuk menyertainya beberapa tahun lalu.

    “Jujur sebelum ini saya hanya berniaga dengan bersahaja dan tanpa ilmu asas yang sebenar. Namun setelah menerima sokongan Yayasan, banyak perubahan positif diperoleh,” jelasnya.

    Hajah Norinah turut bersyukur pihak Yayasan turut menyediakan beberapa kegiatan yang dianjurkan dengan kerjasama LiveWIRE Brunei di bawah program tersebut yang mana semuanya itu mendidik dirinya untuk lebih menyelami ilmu pengetahuan asas dalam dunia keusahawanan lebih teratur dan menyeluruh merangkumi aspek pengurusan kewangan, modal, teknik pembungkusan, pemasaran dan sebagainya.

    Menerusi program itu, Hajah Norinah juga mengongsikan dengan perasaan terharu apabila turut menerima bantuan berupa modal kewangan $3,000 daripada pihak Yayasan bagi memenuhi keperluan jualan termasuklah pelbagai peralatan dapur dan juga bahan-bahan asasi beberapa tahun lalu dan kini beliau sudah mampu mengatur teknik kitaran modal dan keuntungan jualan dari hari ke hari.

    Tambahnya, pada masa ini pihak Yayasan juga sering mengalu-alukan beliau dan golongan Program Usahawan Berkarih yang lain untuk mengikuti pelbagai ekspo dan apa sahaja program jualan dari semasa ke semasa.

    “Jika ada peluang ditawarkan lagi dari pihak Yayasan, saya begitu berharap ingin mengikuti kursus pembuatan kek dan juga pelbagai kulinari bagi mengembangkan lagi kepakaran dalam bidang masakan sekali gus mempelbagaikan produk jualan pada masa akan datang,” luahnya penuh harapan.

    Berkarih, berjarih dan belurih

    Dalam menghadapi pelbagai cabaran antaranya kenaikan harga barangan mentah termasuklah bekas penyimpanan makanan, namun Hajah Norinah percaya rezeki itu datangnya daripada Allah SWT selagi berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitikberatkan kualiti produk atau perkhidmatan dengan sebaik-baiknya.

    “Apa pun perniagaan yang kita ceburi selama ini pasti akan membuahkan hasil jua pada akhirnya berkat pengorbanan dan kesabaran dalam mengharungi segala rintangan. Oleh itu perlu diingat bahawa jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah,” ujar beliau.

    “Pokok pangkal untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah minat yang mendalam, kegigihan dan juga usaha yang tidak pernah kenal erti penat lelah,” nasihat beliau lagi kepada individu yang ingin memulakan perniagaan agar sentiasa memegang moto berkarih, berjarih dan belurih hingga tercapainya kejayaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda