Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menyingkap rahsia seni bela diri kendo

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Hampir semua komuniti di seluruh Nusantara ini memiliki seni bela diri yang pelbagai, di mana setiap pergerakan mempunyai makna tersendiri sehingga ia dapat mewujudkan individu yang berdisiplin dan juga memiliki komitmen yang tinggi serta melahirkan keperibadian penuh berkeyakinan dalam menjalani kehidupan sehari-hari.

    Namun, bukan bererti jika kita mengikuti aktiviti seni bela diri itu, kita ingin menjadi kuat semata-mata bahkan ia hanyalah sebagai satu kemahiran untuk menjaga keselamatan diri apabila berdepan situasi yang tidak diingini.

    “Yakin dan jangan mudah berputus asa untuk terus menerokai apa sahaja jenis seni bela diri seperti salah satunya kendo kerana ia amat penting untuk kita, tidak kira kaum lelaki mahu pun perempuan, sejak usia kecil lagi untuk terus belajar bersiap sedia membela diri dengan pantas dan cekap menentang ancaman tertentu yang sememangnya sukar diduga berlaku di mana-mana,” kata Pengasas dan Yang Di-Pertua Persekutuan Kendo Brunei Darussalam, Pengiran Alimin bin Pengiran Haji Metussin.

    Beliau sempat mengongsikan nasihat itu semasa ditemui penulis selepas Acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2023, di ibu negara, baru-baru ini.

    Persembahan seni mempertahankan diri adalah antara pengisian utama yang menarik perhatian penonton pada acara tersebut.

    Seni bela diri kendo merupakan salah satu sukan tradisi yang berasal dari Jepun yang berunsurkan pahlawan-pahlawan masa silam iaitu pahlawan samurai yang menggunakan pedang, namun kini diadopsi menjadi sukan kendo yang diolah oleh atlet-atlet sukan ini diberi panggilan kendoka. – Gambar oleh Muiz Matdani & Pengiran Alimin
    Gambar oleh Muiz Matdani & Pengiran Alimin
    Lazimnya, setiap kendoka mengenakan seragam yang dikenali sebagai gi dan hakama; boguset merupakan pelindung tubuh yang wajib dipakai saat mengikuti seni bela diri kendo; kote sebagai sarung tangan; dan topi bagi melindungi bahagian kepala, wajah dan leher serta bahu daripada serangan lawan dikenali dengan panggilan man serta batang buluh diolah sebagai gantian kepada pedang sebenar disebut sebagai shinai. – Gambar oleh Muiz Matdani & Pengiran Alimin

    Persembahan seni mempertahankan diri pada acara itu menyaksikan seramai 335 orang atlet yang terdiri daripada 322 orang atlet kebangsaan, atlet pelapis kebangsaan, atlet-atlet di bawah Skim Jabatan Belia dan Sukan dan atlet-atlet dari kelab-kelab di bawah persatuan dengan melibatkan seramai 13 orang jurulatih sukan karate, kempo, kickboxing, tae kwan do, pencak silat termasuklah kendo.

    Sementara itu, persembahan tersebut turut disertai oleh atlet-atlet muda yang berumur seawal empat tahun hingga 60 tahun dengan konsep persembahan mempamerkan pergerakan seni mempertahankan diri yang unik mengikut disiplin sukan masing-masing yang sesuai dijadikan sebagai amalan yang baik untuk kesihatan dan kesejahteraan individu ke arah cara hidup yang lebih sihat.

    Demi melahirkan atlet sukan kendo

    Justeru itu, Pengiran Alimin turut berkongsi mengenai sejarah penubuhan Persatuan Kendo Brunei Darussalam yang telah ditubuhkan pada 15 Jun 2001 di mana antara matlamat penubuhannya adalah untuk melahirkan atlet-atlet sukan kendo yang bertaraf serantau dan antarabangsa.

    “Di samping itu, penubuhannya juga bertujuan untuk sama-sama membantu negara menggalakkan golongan belia bergiat aktif dan menjauhi mereka daripada terjerumus dengan gejala yang tidak sihat di negara ini,” ujarnya yang juga selaku ketua jurulatih.

    Dalam perkongsian lanjut, Pengiran Alimin berkongsi seketika mengenai maksud kendo, di mana ia merupakan salah satu sukan tradisi yang berasal dari Jepun dengan berunsurkan pahlawan-pahlawan masa silam iaitu pahlawan samurai yang menggunakan pedang, namun kini ia diadopsi menjadi sukan kendo yang diolah oleh atlet-atlet sukan berkenaan dan diberi panggilan kendoka.

    Manakala pedang buluh yang digunakan dalam sukan itu sebagai ganti kepada senjata asal iaitu pedang sebenar yang disebut sebagai shinai.

    Kongsi beliau lagi, lazimnya, setiap kendoka mengenakan seragam yang dikenali sebagai gi dan hakama. Sementara koguset pula merupakan pelindung tubuh yang wajib dipakai saat mengikuti seni bela diri kendo, kote sebagai sarung tangan dan topi bagi melindungi bahagian kepala, wajah dan leher serta bahu daripada serangan lawan dikenali dengan panggilan man.

    Selain itu, Pengiran Alimin turut berkongsi jumlah terkini ahli Persekutuan Kendo Brunei Darussalam yang bukan hanya terdiri daripada golongan belia sahaja bahkan terdapat juga ahli yang berusia 55 tahun ke atas dan ahli paling muda berusia enam tahun.

    Menguasai disiplin diri

    Lantaran itu, Pengiran Alimin turut menjelaskan bahawa menerusi seni bela diri itu, setiap pengamal kendoka mempraktikkan diri dalam disiplin masing-masing, baik dalam latihan mahu pun di khalayak awam, di samping menyemai sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

    “Disiplin dalam pertandingan adalah dengan sentiasa fokus pada setiap detik perlawanan dengan cara yang dibenarkan mengikut peraturan yang ditetapkan ketika melakukan serangan yang disertai dengan teriakan yang dipanggil kiai,” ujarnya.

    “Sasaran bahagian anggota tubuh badan dalam sukan kendo ini ialah kepala bahagian tengah, kanan, kiri, lengan kanan, lengan kiri, rusuk kanan, rusuk kiri dan tusukan leher,” tambahnya.

    Beliau turut berkata bahawa adapun keunikan kendo itu dapat dilihat di mana ia sebagai sukan yang tiada memiliki batas usia penyertaan dengan bercirikan seni mempertahankan diri dari sebarang serangan yang mengunakan senjata yang dikhaskan.

    Dengan memegang misi ‘Kejayaan, Sumbanganku untuk Negara’, Pengiran Alimin juga tidak ketinggalan mengalu-alukan orang ramai untuk menjadi ahli dalam Persekutuan Kendo Brunei Darussalam di mana sesi latihan diadakan setiap hari Selasa dan Jumaat bermula 7:30 malam sehingga 9:30 malam bertempat di Kompleks Sukan Menglait Gadong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda