KUALA LUMPUR – Bagi mengenang arwah ibu tercinta, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mencuri masa dalam kesibukan tugasnya selaku Gabenor Bank Negara Malaysia pada ketika itu, untuk memulakan usaha hampir sedekad menterjemahkan buku karya Allahyarham Azah Aziz, bertajuk Rupa dan Gaya: Busana Melayu ke bahasa Inggeris.
Diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris yang menggunakan tajuk Malay Textiles and Customes: Form and Style itu dilancarkan di sini baru-baru ini bersama-sama dengan edisi ketiga versi bahasa Melayu.
Zeti yang bersara sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia pada 2016, berkata beliau memulakan usaha itu pada 2014 namun mengambil masa yang lebih lama daripada jangkaan disebabkan oleh beberapa isu, termasuk kesukaran mendapatkan istilah terjemahan yang tepat.
“Satu daripada istilah paling sukar ialah telepuk. Tidak ada istilah bahasa Inggeris yang membawa makna sama dengan perkataan itu.
Akhirnya, kami bersetuju menggunakan ‘gilded’ yang merujuk tekstil bercorak dengan elemen metalik,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran tersebut.

Mengulas lanjut, Zeti berkata bagi membantu pembaca antarabangsa memahami istilah-istilah bahasa Melayu berkaitan tekstil, glosari khusus turut disertakan di dalam buku itu.
Buku versi bahasa Inggeris itu juga katanya berperanan sebagai rujukan penting buat cendekiawan, kurator muzium dan penggiat tekstil di seluruh dunia.
“Versi ini memelihara keaslian karya asal, dan pada masa sama memastikan kepentingan serta nuansa budaya warisan Melayu bergema di seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, Zeti berkata peluang memperingati arwah ibunya menerusi karya tersebut merupakan satu penghormatan buatnya.
Katanya, karya Allahyarham meraikan keindahan dan kesinambungan warisan budaya orang Melayu, melangkaui batasan akademik.
“Buku ini meneroka peranan nilai budaya, adat resam dan evolusi tekstil serta busana Melayu,” katanya.
Buku Rupa dan Gaya: Busana Melayu diterbitkan buat pertama kali pada 2006 dan pernah diiktiraf sebagai Buku Terbaik Anugerah Buku Kebangsaan anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pada 2008.
Allahyarham Azah Aziz atau nama penuhnya Sharifah Azah Syed Mohammad Alsagoff meninggal dunia pada 9 Julai 2012 ketika berusia 83 tahun.
Semasa hayatnya, beliau merupakan seorang wartawan dan penulis buku kanak-kanak serta diangkat sebagai budayawan kerana sumbangan besar Allahyarham dalam pemeliharaan warisan budaya Melayu.
Sebagai memperingati dedikasi sepanjang hayat Azah Aziz terhadap usaha itu, keluarganya menyumbangkan koleksi tekstil, busana serta aksesori milik Allahyarham kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk dipamerkan di Muzium Tekstil Merdeka bagi tatapan umum.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dalam ucapannya pada majlis itu, berkata Muzium Tekstil Merdeka merupakan satu bentuk penghormatan kepada Allahyarham Azah Aziz.
“PNB amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan menjadi penjaga koleksi luar biasa Allahyarham Azah Aziz dan kami akan mempamerkan kesenian tekstil kita ini kepada dunia,” katanya.
Koleksi peribadi Allahyarham merangkumi lebih 200 item, antaranya sarung songket, baju kurung limar dan tekat emas yang menonjolkan kegemilangan seni ketukangan orang Melayu.
Muzium Tekstil Merdeka yang terletak di bangunan anjung tinjau Look At 118, bakal menjadi destinasi budaya ikonik apabila dibuka kepada umum pada awal 2026. – Bernama