ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
MEMORI dalam minda seseorang adalah umpama sebuah kotak yang menyimpan pelbagai barangan di mana ada di antaranya baik dan ada juga dianggap tidak berguna lagi.
Sesuatu yang baik atau indah itu setentunya akan cuba untuk terus dikenang manakala memori yang buruk atau pahit pula sebaiknya dilupakan agar ia tidak terus menghantui diri.
Namun bagaimana pula sekiranya seseorang itu menghidap masalah ingatan yang cepat hilang lebih teruk lagi ia hanya mampu bertahan salama semalam.
Justeru, perkara itu yang menjadi tumpuan dalam sebuah siri drama Korea terbaharu, Devilish Joy hasil tulisan skrip dari Choi Ji-yeon dan diarahkan oleh Kim Ga-ram.
Pelakon lelaki yang pernah membintangi siri drama The Heirs, Emergency Couple dan Tunnel, Choi Jin Hyuk telah dipilih untuk digandingkan bersama dengan Song Ha-Yoon sebagai teraju utama.

Di samping itu, anggota kumpula Infinite, Hoya, Lee Joo-yeon, Lee Soo-ji dan Kim Min-sang juga turut dipilih untuk membintangi siri drama ini.
Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai seorang pewaris Syarikat Sunwoo dan juga merupakan pakar perubatan bernama Gong Ma-sung lakonan Choi Jin Hyuk yang berusaha untuk membantu merawat seorang wanita.
Namun ketika dalam perjalanan untuk membantu wanita itu ternyata malang tidak berbau apabila dia telah terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya.
Tatkala pulih daripada kemalangan itu, ternyata ingatannya juga terjejas sehingga dia disahkan menghidap sindrom Cinderella Memory Disorder yang hanya untuk mengingat memori dalam tempoh satu malam.
Dalam waktunya menjalani rawatan itu, dia juga telah bertemu dengan seorang wanita jelita bernama Joo Gi Bbeum lakonan Song Ha Yoon yang merupakan seorang pelakon yang kini tidak lagi aktif dalam bidang seni.
Lalu bagaimanakah hubungan percintaan dua insan itu mampu bersemi sekiranya salah seorang daripada mereka dengan mudah melupakan memori indah ketika bersama.
Bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan itu jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Devilish Joy sehingga ke penghujungnya.