Oleh Nurdiyanah R.
Demi tanda ingatan kasih sayang dan hasrat yang mendalam terhadap Allahyarham ayah tercinta, Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad yang amat menghargai seni keindahan tenunan Brunei semenjak dahulu lagi, anak perempuannya kini mewarisi harapan murni memartabatkannya melalui dunia keusahawanan kain tenunan.
“Semangat kecintaan Allahyarham ayah saya terlalu mendalam terhadap kain tenunan warisan Melayu ini, sekali gus menaruh harapan agar anak-anaknya meneruskan kesinambungan kepakaran hasil tangan budaya tradisi seperti bertenun yang dimiliki ahli keluarga suatu ketika dahulu, sehingga mencetus inspirasi kepada saya menceburi bidang ini, ” kata Hajah Nooraidah binti Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad yang semakin giat memartabatkan produk kain tenunan di bawah Syarikat Little Ummi semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
Menerokai kemahiran informal intensif
Hajah Nooraidah mula menubuhkan perusahaannya sejak tahun 2016 secara sepenuh masa dan menjelaskan beliau yang tidak memiliki kemahiran bertenun pada usia mudanya, mencekalkan hati dan menguatkan keinginan untuk mengikuti pembelajaran informal secara intensif dari salah seorang tenaga pengajar yang memiliki kepakaran dalam bidang kesenian sejak tahun 80an lagi, Hajah Rahani binti Begawan Mudim Dato Seri Setia Haji Adanan sehingga kini.
“Meski mengetahui setiap pembelajaran itu bukan mudah namun dengan adanya ketulusan hati seorang insan yang begitu teliti dalam memberi tunjuk ajar telah meningkatkan semangat saya lagi untuk menerokai ilmu kesenian sebegini dari semasa ke semasa. Kesyukuran dan kepuasan dapat dirasai apabila terhasilnya setiap sentuhan karya kain tenunan. Segala kepenatan yang dirasakan seolah-olah hilang begitu sahaja.
“Dengan bertawakal kepada Allah SWT, saya tekad untuk menanai amanah menjalankan perusahaan ini dengan sebaik-baiknya, berkat doa dan sokongan yang teguh daripada insan-insan tersayang,” ujarnya lagi dengan penuh keyakinan meskipun mengetahui dunia persaingan ini memiliki pasang surutnya.


Pentingnya sentuhan penuh ketelitian
Pengusaha tanah air yang mengutamakan nilai tradisi, warisan dan budaya dalam meniti dunia keusahawanannya ini turut menyatakan bahawa kain tenunan dihasilkannya terdiri daripada sembilan jenis antaranya Kain Jong Sarat, Kain Sukma Indra, Kain Betabur, Kain Sipugut, Kain Liputan Madu, Kain Sinjang Tenun Budai, Kain Silubang Bangsi, Kain Sinjang Tenun Budai Beinti, dan Kain Arat Gegati.
“Setiap jenis memiliki keunikan corak yang begitu istimewa apabila kita benar-benar menyelaminya. Bukan sekadar pemilihan benang yang berkualiti tinggi, malah cetusan dan gabungan corak, motif dan juga warna perlu dihiasi dengan ketelitian dan kesungguhan serta semangat yang teguh.
“Hal ini amat penting untuk memastikan kehalusan keasliannya dan juga nilai estetiknya sentiasa terpelihara serta diserikan lagi dengan elemen kontemporari yang mampu memukau mata yang memandangnya,” tambahnya yang kebiasaan menyiapkan setiap karya sentuhan dalam anggaran masa lebih kurang 10 hari tertakluk kepada jenis-jenisnya.
Variasi inovasi berasaskan kain tenunan
Keindahan dalam penghasilan kain tenunan ini yang diterokai oleh Hajah Nooraidah bukan hanya berbentuk produk sinjang semata-mata. Namun beliau juga sentiasa bergerak aktif dalam mengetengahkan variasi inovasi barangan berasaskan kain tenunan dengan daya kreativiti yang tersendiri dari semasa ke semasa.
Antaranya menerusi pembuatan songkok; kusyen atau alas meja; selendang (shawl); tali leher; ‘frame’ iaitu tempat menyimpan kain Jong Sarat; ‘scrunchy’ iaitu pengikat rambut; ‘neckpillow’; beg dan ‘tissue jacket’.
“Alhamdulillah, berkat daripada pembelajaran secara berterusan serta teguran dan saranan positif daripada ahli keluarga dan sahabat handai serta orang ramai, maka dari situlah tercetusnya pelbagai ilham untuk mengembangluaskan lagi kreativiti pelbagai barangan tertentu.
“Dengan adanya pelbagai produk berasaskan kain tenunan sebegini, ia diharap dapat melestarikan lagi dan membuka minda masyarakat di negara ini untuk sama-sama memelihara keindahan dan keunikan kain tenunan yang menjadi warisan nenek moyang kita agar tidak pupus ditelan arus zaman silih berganti,” ujarnya yang turut menyediakan perkhidmatan sewaan barangan berasaskan kain tenunan sekali gus mengalu-alukan masyarakat di negara ini terutamanya para usahawan muda tempatan untuk sama-sama tampil mengetengahkan produk-produk hasil kreativiti mereka khususnya bercirikan kesenian tradisi, budaya dan warisan Melayu dalam perusahaannya.
Kalau bukan kita yang mempertahankannya, lalu siapa lagi?
Dengan penuh ketulusan, Hajah Nooraidah turut memiliki hasrat untuk menubuhkan pameran mini berbentuk pendidikan praktikal penuh interaktif pada masa mendatang agar ilmu dan kemahiran seni tenunan akan lebih dihayati terutamanya dalam kalangan orang muda di negara ini sambil menekankan bahawa bakat dan kemahiran bukan penentu kejayaan seseorang, malah keberanian dan kesungguhan itulah langkah permulaan untuk menuju kejayaan, setentunya beserta iringan doa dan restu keluarga.
Dalam pada itu, daya kreativiti dalam mengetengahkan sesuatu produk itu juga memainkan peranan yang penting dalam kita meniti arus persaingan dalam dunia keusahawanan demi membantu meningkatkan pendapatan diri dan keluarga sekali gus mencetus perekonomian negara amnya.
“Dalam kita meniti arus zaman silih berganti, pelbagai kemajuan dan pembangunan tetap dinikmati, namun memartabatkan segala warisan kebudayaan itu adalah tanggungjawab bersama. Kalau bukan kita yang mempertahankannya dan melestarikannya, lalu siapa lagi?,” tegasnya dengan nada penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.