Friday, September 20, 2024
35.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menyusuri keindahan perairan Sungai Brunei penuh sejarah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Sesekali menjejakkan kaki di Kampong Ayer pastinya mampu mencetuskan kenangan mengenai keindahan warna-warni kehidupan masyarakat Melayu silam. 
     
    Suasana anak-anak muda berpakaian cara Melayu bersinjang sambil berjalan di atas jambatan berdekatan dengan rumah-rumah lama dengan pelbagai jenis Rumah Belah Bubung, Rumah Berhidong dan Rumah Tungkup yang sungguh unik di pandang mata. 
     
    Begitu juga suasana riuh-rendah kebiasaan kanak-kanak bermain permainan tradisional kikik di atas jambatan pail-pail kayu. Ke hulur ke hilir, terlihat golongan padian berniaga, yang merupakan salah satu aktiviti perekonomian mereka yang kini telah terhakis di telan zaman.  
     
    Hakikatnya, zaman silih berganti, hampir segalanya hanya tersisa tinggal kenangan. Kenangan yang tersimpan memori suka dan duka yang bagaikan suatu yang pergi lalu meninggalkan jejak.  
     
    Apa yang menariknya, walaupun Kampong Ayer ketika ini sudah jauh berubah tetapi tetap tidak akan mengubah kemeriahan suasana persekitarannya dengan kebisingan perahu tambang, orang-orang kampung berjalan di jambatan-jambatan mahu pun kelibat orang mengail di pantaran rumah dan begitu juga dengan keindahan perairan Sungai Brunei di sekitarnya sehingga mampu menjadi satu tarikan destinasi pelancongan dalam negara sehingga kini. 
     
    Menyusuri Sungai Brunei merupakan salah satu pelancongan domestik yang memberikan peluang kepada masyarakat untuk menikmati keindahan sambil mengenang sejarah kita. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Makam di Luba juga merupakan salah satu destinasi menarik yang diketengahkan semasa lawatan berkenaan yang pastinya menyimpan nilai sejarah tersendiri. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Lumut Lunting terletak antara Pulau Sibungur dengan Pulau Berambang di kawasan Sungai Brunei. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Jong Batu, salah satu cerita rakyat yang dikenali ramai dalam kalangan masyarakat. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Bersantai sambil menimba pengetahuan khazanah silam, itulah menariknya destinasi lawatan pelancongan yang lebih berkonsepkan Kenali Negara Kitani (KNK) yang dirasai sendiri oleh penulis bersama beberapa orang rakan, baru-baru ini, yang sememangnya mampu mewujudkan pengalaman terindah menerokai keindahan perairan Sungai Brunei yang pastinya memiliki khazanah pulau-pulau penuh bersejarah. 
     
    Menyusuri Khazanah Perairan Sungai Brunei 
     
    Dengan menaiki bot laju dari Jeti Queen Elizabeth II, Kampung Dato Gandi, Jalan Kota Batu, Bandar Seri Begawan, destinasi lawatan pelancongan domestik ini yang diadakan seawal 9 pagi menyediakan aktiviti menarik menerusi sesi pengembaraan ke pulau-pulau di perairan Sungai Brunei dengan unsur-unsur pengetahuan sejarah dan budaya yang sememangnya begitu penting untuk diketahui oleh para generasi penerus bangsa.
     
    Sambil menikmati keheningan pagi dengan hembusan angin dan desiran ombak di perairan Sungai Brunei yang menenangkan itu, kami bukan hanya dapat menyaksikan keindahan panorama persekitaran alam semula jadi penuh kehijauan bahkan lebih istimewanya kami juga berpeluang melihat tujuh buah pulau dan beberapa destinasi yang menyimpan nilai sejarah serta legenda yang tersendiri.  
     
    Diwarnai Bait-Bait Folklor KeBruneian
     
    Meski panas terik semakin menyengat, namun ia tidak begitu mematah semangat untuk meneruskan penerokaan, lebih-lebih lagi dengan adanya kisah-kisah folklor di sepanjang destinasi-destinasi yang dituju antaranya Pulau Keingaran, Pulau Chermin, Pulau Baru-Baru, Pulau Berambang dan juga Makam di Luba. 
     
    Salah satu cerita lisan yang diketengahkan oleh salah seorang pemandu pelancong tempatan pada ketika itu ialah mengenai Lumut Lunting. 
     
    Terletak di antara Pulau Sibungur dengan Pulau Berambang di kawasan Sungai Brunei yang mana ia merupakan legenda yang dikaitkan mengenai kisah persabungan ayam di antara Brunei dengan Majapahit seperti yang terdapat dalam Syair Awang Semaun
     
    Cerita persabungan ayam ini telah menjadi cerita lisan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Brunei dan dipertuturkan daripada satu generasi ke satu generasi. 
     
    Sebuah Kisah Bersulam Pedoman 
     
    Turut disaksikan adalah Jong Batu, sebongkah batu seolah-solah berbentuk bahtera yang senget terdampar dan selebihnya ditenggelamkan air di salah sebuah perairan kawasan Sungai Brunei. Jong Batu merupakan salah satu cerita rakyat yang masih segar dalam ingatan masyarakat walaupun ia sudah lama berlalu. 
     
    Ia berkisarkan anak derhaka yang tidak mengakui ibunya yang akhir-nya menjadi batu bersama seluruh bahteranya di Sungai Brunei. Itulah pembalasan azab daripada Allah SWT dan disebut sebagai ‘anak ketulahan’ oleh masyarakat kita. Inilah cerita rakyat yang dapat dijadikan iktibar kepada semua agar sentiasa menghormati kedua-dua ibu bapa atau orang yang lebih tua daripada kita.
     
    Oleh yang demikian, apa yang penting, menerusi lawatan sebegini, ia juga dapat menyemai dan mendidik diri untuk lebih menghargai khazanah warisan budaya bangsa seperti sejarah dan cerita rakyat kita yang sememangnya perlu dipertahankan warisannya, agar tidak luput ditelan zaman dan dilupakan oleh generasi muda dan akan datang.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda