Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi
Gambar oleh Azlan Othman & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Sempena Ulang Tahun Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), beberapa kementerian kerajaan telah mengadakan majlis Doa Kesyukuran sebagai tanda bagi merafakkan syukur dan seterusnya memanjatkan doa kehadrat Allah SWT supaya melimpahkan kurnia kesihatan kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan kerabat diraja.
JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan majlis berkenaan di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks Bangunan JPM, di sini, hari ini, yang dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.
Turut hadir ialah para jemputan khas, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di JPM, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Kementerian Pembangunan pula telah mengadakan majlis serupa di Surau Kementerian Pembangunan, hari ini, dan dihadiri oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang) di Kementerian Pembangunan, Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Sementara itu, semalam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) mengendalikan majlis berkenaan di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji
Hambali.
Hadir sama ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid serta para pengarah, timbalan pengarah, para pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua formasi, pegawai, anggota dan kakitangan PDB.



