Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Merakam detik istimewa di Hari Raya

    Oleh Lenna N.B

     

    “Hari Raya pertama pada lazimnya adalah peluang untuk adik-beradik, dan anak-anak berkumpul di rumah ibubapa. Pada detik itu, kita dapat melihat jalinan kekeluargaan meraikan Hari Raya. Uniknya, satu keluarga berpakaian sedondon dan pada waktu itulah, kami ingin merakamkan detik-detik istimewa tersebut untuk mereka. Mengindahkan dan menyerikan lagi suasana di Hari Raya,” ujar Awang Abdul Hafiz bin Jawawi, 26, Pengarah HD Studio.

    Pada tahun ini, beliau bersama kru sebalik HD Studio akan bertugas pada awal Raya, dari sebuah rumah ke sebuah rumah untuk merakamkan gambar keluarga di Aidilfitri. Menurut beliau, perkhidmatan fotografi raya dari rumah ke rumah ini memang sudah diperkenalkannya sejak tahun lalu dan tanpa disangka, telah mendapat sambutan orang ramai, yang ingin merakamkan detik indah bersama keluarga.

    Perkhidmatan jurugambar

    Awang Abdul Hafiz sudah berada di bidang fotografi kira-kira 10 tahun, dan hanya mula membuka syarikat HD Studio dalam awal tahun 2013 dari rumah. Kemudian beliau menubuhkan sebuah studio di Tutong dan seterusnya berpindah di Seria.

    Kini, HD Studio beroperasi sepenuhnya di Seria Plaza. Seperti syarikat-syarikat fotografi yang lainnya, HD Studio menawarkan perkhidmatan fotografi dan video, yang biasanya untuk acara perkahwinan, majlis graduasi dan sebagainya.

    Mengimbas kembali sejarah HD Studio, ia telah ditubuhkan kira-kira lima tahun, dengan khidmat dari empat orang kru pekerja dan lima orang jurugambar, termasuklah Awang Abdul Hafiz sendiri.

    Merakamkan detik indah bersama keluarga di Hari Raya.
    Merakamkan detik indah bersama keluarga di Hari Raya.
    Awang Abdul Hafiz ketika ditemu ramah.
    Awang Abdul Hafiz ketika ditemu ramah.
    Keceriaan jelas terpancar di Hari Raya.
    Keceriaan jelas terpancar di Hari Raya.

    HD Studio dalam sejarah penubuhannya banyak meniti detik-detik cabaran dan kejayaannya. Salah satu yang cukup menarik di sebalik HD Studio, adalah perkhidmatan fotografi raya dari rumah ke rumah.

    Biasanya, ketika hendak bergambar bersama keluarga sempena Hari Raya, kita akan berkumpul bersama keluarga ke studio untuk bergambar, tetapi berbeza dengan HD Studio. Sebaliknya, mereka akan turun bertugas ke rumah-rumah sewaktu Hari Raya untuk merakamkan kemeriahan keluarga menyambut Aidilfitri.

    Sumber idea

    Menurut Awang Abdul Hafiz, perkhidmatan fotografi raya sebenarnya tercetus dari idea pelanggan-pelanggan HD Studio sebelum ini.

    Kira-kira dalam tahun 2012, apabila pelanggan meminta untuk melakukan perkhidmatan fotografi di rumah beliau.

    Namun begitu, Awang Abdul Hafiz belum bersedia untuk melakukan secara sepenuhnya sehinggalah pada tahun lalu apabila di bulan Ramadan, HD Studio tidak mempunyai satupun tempahan acara perkahwinan. Ini kerana sangat jarang sekali majlis perkahwinan diadakan di bulan Ramadan dan secara tidak langsung memberi kesan kepada HD Studio.

    Lalu, perkara tersebut jelas mendorong Awang Abdul Hafiz untuk mencari inisiatif dengan menjadi lebih kreatif dari segi perkhidmatan fotografi.

    Pada masa itulah, tercetusnya idea untuk merealisasikan perkhidmatan raya dari rumah ke rumah, tambahan pula belum ada perkhidmatan tersebut ditawarkan oleh mana-mana syarikat fotografi.

    “Alhamdullillah kami mendapat 15 klien pada tahun lalu bersempena dengan Aidilfitri. Walaupun bekerja di Hari Raya, kami dilayan dengan baik oleh pelanggan-pelanggan kami, yang memberikan layanan seperti keluarga sendiri. Di samping mengambil gambar, kami juga sebenarnya ikut berhari raya. Kemeriahan begitu terasa,” jelas Awang Abdul Hafiz.

    Merakamkan detik keluarga

    Di waktu hari-hari biasa, amat sukar untuk mengumpulkan ahli keluarga apatah lagi dalam keadaan anak-anak yang sudah berkahwin, mempunyai keluarga sendiri dan karier masing-masing. Justeru itu, ketika mereka berkumpul di rumah ibubapa adalah antara peluang terbaik untuk merakamkan detik bersama tersebut.

    “Masalah ini saling dinyatakan oleh pelanggan-pelanggan kami. Mereka tidak ada masa untuk ke studio kerana komitmen masing-masing. Jadi, kami berusaha sebaik mungkin untuk menawarkan perkhidmatan yang dimahukan oleh mereka, bukan sahaja menjimatkan masa tetapi memudahkan mereka yang berkesempitan waktu. Berhari raya di rumah ibu bapa adalah komitmen yang mereka tidak dapat elakkan dan pada waktu itulah, amat sesuai sekali untuk mengadakan sesi penggambaran bersama,” jelas Awang Abdul Hafiz.

    Antara kru di sebalik HD Studio.
    Antara kru di sebalik HD Studio.
    Antara hasil fotografi raya yang dilaksanakan oleh HD Studio.
    Antara hasil fotografi raya yang dilaksanakan oleh HD Studio.
    Turut menawarkan perkhidmatan fotografi raya di kawasan luar rumah.
    Turut menawarkan perkhidmatan fotografi raya di kawasan luar rumah.

    Misi utama HD Studio menawarkan perkhidmatan fotografi raya ini adalah untuk membantu para pelanggan menggantikan foto keluarga lama mereka kepada sebuah foto yang baru.

    Malah sebelum Hari Raya Aidilfitri menjelma, HD Studio sudah ada menerima tempahan pelanggan yang ingin bergambar awal sebelum raya, agar foto keluarga yang baru siap dan sudah bergantung di dinding sebelum tibanya Aidilfitri.

    “Pada waktu ini, kami sedang melaksanakan promosi Hari Raya hingga 20 Jun. Tempahan pelanggan sudahpun mencapai lebih dari 20 keluarga, dan foto dijangka siap dalam masa sehari ke dua hari. Jadi, pelanggan tidak tertunggu-tunggu dan sekaligus dapat menggantung gambar yang terkini di dinding rumah mereka.”

    Menurut Awang Abdul Hafiz, sesi penggambaran diadakan selama satu jam tanpa terhad dari segi penangkapan gambar-gambar, namun 15 gambar terbaik akan dipilih dan dimuatkan dalam DVD, dengan sebuah bingkai gambar berukuran 16×12 secara percuma. Perkhidmatan jurugambar dari rumah ke rumah kini menjadi trademark HD Studio pada setiap kali tibanya Aidilfitri.

    “Yang penting bagi kami adalah detik keluarga berkumpul dan bersatu di Hari Raya,” jelas Awang Abdul Hafiz

    Meriah Aidilfitri

    “Dari pengalaman kami bertugas di Hari Raya pada tahun lepas, kami telah merasai sendiri meriahnya suasana Hari Raya. Kami menyaksikan jalinan keluarga yang sekian lama tidak meluangkan waktu bersama. Mereka malah memasang lagu raya, untuk menikmati indahnya berhari raya sekeluarga. Berbanding di hari-hari biasa, ternyata Hari Raya adalah detik istimewa yang kami benar-benar rasa seronok bekerja,” terang Awang Abdul Hafiz.

    Tambah beliau lagi, walaupun bertugas mereka dilayan penuh prihatin oleh keluarga pelanggan tersebut dengan menghidangkan pelbagai jenis kuih dan hidangan makanan.

    Waktu bertugas secara langsung bukan keseluruhannya hanya bekerja dan merakamkan gambar tetapi menjadi sebahagian daripada keluarga pelanggan di samping berhari raya di rumah mereka.

    Meriah Aidilfitri tetap dapat dirasai bersama walaupun bertugas sebagai jurugambar.

    “Saya tahu, apabila menawarkan perkhidmatan penggambaran di Hari Raya, sekaligus bererti saya perlu mengorbankan waktu saya bersama keluarga. Alhamdulilah, saya mempunyai keluarga yang memahami dan isteri yang memberikan sokongan padu. Isteri saya akan bersama bertugas di Hari Raya, dan kami merancang pada Hari Raya pertama nanti, berpakaian sedondon berwarna merah. InsyaAllah,” ujar Awang Abdul Hafiz ketawa.

    Menurut beliau, Hari Raya adalah bulan meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa.

    Justeru itu, beliau ingin menghargai setiap detik di Hari Raya di samping mencari rezeki melalui perkhidmatan fotografi.

    Merakamkan detik Hari Raya dari lensa kameranya, umpama rakaman peristiwa indahnya perjalinan keluarga, saudara dan persahabatan. Detik istimewa di Aidilfitri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda