Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Merakyatkan’ wawasan Brunei 2035

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 selaku autoriti utama yang berperanan dalam memastikan pelaksanaan dasar-dasar dan strategi-strategi Wawasan Brunei 2035 telah dan akan terus memastikan bidang-bidang yang dikenalpasti sebagai fokus atau keutamaan dalam memberikan impak besar ke arah merealisasikan ketiga-tiga matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam tempoh yang ditetapkan.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, penentuan bidang-bidang tersebut termasuklah KPI-KPI kebangsaan serta sasaran-sasarannya yang berasaskan pada rundingan dan penelitian awal di antara sekretariat-sekretariat tetap Wawasan Brunei 2035 bersama pihak-pihak yang berkepentingan khasnya peneraju-peneraju iaitu kementerian-kementerian, jabatan-jabatan serta pihak-pihak berkepentingan lainnya.

    “Pendekatan yang diambil ini bukan sahaja dihasratkan untuk memperoleh persefahaman dan persetujuan mengenai bidang-bidang dan KPI-KPI kebangsaan serta keupayaan pihak berkenaan, malah lebih penting ianya menjurus kepada pewujudan sense of ownership di kalangan pihak itu sendiri yang setentunya akan menjamin pencapaian keberhasilan yang hendak digarap,” jelasnya.

    Demikian penjelasan yang diberikan oleh Yang Berhormat Dato dalam menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad berkaitan dengan Wawasan Negara 2035, semasa sesi soal jawab sebelah petang pada hari ketiga Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, di Jalan Dewan Majlis, hari ini.
    Terdahulu, Yang Berhormat Awang Iswandy mencadangkan bahawa perlu adanya mekanisme untuk memastikan kita mempunyai kunci penanda aras dalam mencapai rangka kerja wawasan tersebut.

    “Seperti contohnya kita dapat membuat meter review progress untuk susulan dan mengkaji secara menyeluruh kemajuan dan pelaksanaan bagi mencapai Wawasan Brunei 2035,” kongsinya. Dalam menjawab persoalan Yang Berhormat Awang Iswandy mengenai perkara foresighting dan penyelarasan mengenai SDGs, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti menjelaskan bahawa pendekatan sedemikian khasnya foresighting di pihak Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035 telah pun diberikan keutamaan di mana sebahagian pegawai-pegawai kanan Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035 diberikan pengetahuan mengenainya melalui kursus-kursus yang dihadiri dan telah mengadaptasi kaedah tersebut dalam koperasi unit berkenaan pada hari ini.

    “Daripada kursus-kursus foresight ini, pihak sekretariat menggunakannya untuk membuat analisis mengenai bidang-bidang keutamaan di masa depan dan analisis jurang terhadap kerangka kerja Wawasan Brunei 2035 termasuklah memastikan ianya selaras dengan trend-trend serantau dan antarabangsa,” jelas Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga mengongsikan bahawa Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 melihat kepentingan penanda aras dan kajian strategik masa hadapan dalam apa jua perancangan jangka panjang.

    “Oleh kerana kita berhadapan dengan masa depan yang cepat berubah dan tidak menentu, kita perlu bersedia dengan penggunaan metodologi berpandangan jauh dalam penyediaan dasar-dasar dan pelan strategik bagi memastikan pelan tindakan negara akan bersedia pada masa depan.

    Future ready untuk menghadapi strategic surprises dan driving forces hanya dapat dilaksanakan dengan penglibatan semua pihak untuk sama-sama meningkatkan keberkesanan dan pensejajaran inisiatif-inisiatif ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035. Ia telah dilaksanakan dalam beberapa inisiatif seperti perangkaan dasar perubahan iklim, digital economic blueprint dan economic blueprint,” tekannya.

    Menurutnya, mereka akan sentiasa memastikan negara bersedia mencapai aspirasi dan impian bersama dengan kerjasama dari semua pihak agar negara terus mengorak langkah dan tidak ketinggalan dalam persaingan ke arah kestabilan ekonomi dan pembangunan negara yang mampan serta kesejahteraan dan keselamatan rakyat terjamin.

    Menyentuh mengenai Wawasan Negara 2035 juga, Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman@Othman turut mengajukan soalan mengenai pendekatan dan tindakan yang akan dibuat oleh pihak peneraju dan urusetia Wawasan Negara 2035 bagi ‘merakyatkan’ wawasan tersebut supaya semua lapisan masyarakat akan dapat mengetahui akan tujuan, matlamat serta komitmen semua pihak dalam wawasan berkenaan.

    Dalam menjawab perkara tersebut, Yang Berhormat Dato berkata bahawa langkah-langkah telah diambil bagi mempromosikan Wawasan 2035 dari peringkat kanak-kanak hinggalah kepada orang-orang dewasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda