Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Pengedar tunggal Mercedes-Benz, Jati Transport hari ini memperkenalkan model terbaharu kereta mewah GLA-Class berjiwakan sporty dan dinamik di Bilik Pameran Autohaus, Beribi.
Model seakan SUV ini juga tampak sama dengan model hatchback, namun penuh gaya mewah dan eksklusif buat mereka yang inginkan gaya hidup aktif. Generasi baharu GLA didatangkan dengan enjin 1.4L turbocharge dengan kuasa 163hp dan tork 250nm sesuai untuk pemanduan santai.
Ia juga dilengkapi dengan spesifikasi Progresif Line dengan rim aloi 19 inci warna hitam mayang (Matte Black) dan kemasan kilat. Manakala bahagian kabinnya pula dilimpahi cahaya lampu berwarna pada waktu malam pada kerusi berbalut fabrik, menyerlahkan gaya ekslusif.
Rekaan dalaman masih sama seperti barisan model lain Mercedes-Benz yang menampilkan sistem infotainment MBUX, Apple Carplay atau Android Auto yang memberikan akses penting ke aplikasi di telefon bimbit pemandu.
Ia juga hadir dengan sistem suspensi off-road baharu, menambahkan kemantapannya dalam laluan pelbagai permukaan, tidak kira kampung atau bandar, ia boleh menyesuaikan segalanya.
Dengan aspek keselamatan tidak diambil ringan, Mercedes GLA ini dilengkapi Bantuan Brek Aktif yang memberi amaran jika kereta dipandu terlalu hampir dengan kenderaan di hadapan.
Jika tiada respons atau pemandu lambat bertindak, GLA akan membrek secara automatik bagi mengelakkan perlanggaran. Ia juga dipasang dengan Attention Assist yang mampu mengesan situasi pemandu mengantuk menerusi tindak balas stereng dan mengeluarkan amaran.
