Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Seorang ibu meluahkan perasaan bangga melihat ketiga-tiga anaknya yang menghidap autisme berjaya membina kemahiran hidup, khususnya dalam bidang memasak, sehingga mampu berdikari di dapur.
Menurut Dayang Norhaslinda binti Ibrahim, walaupun setiap anak mempunyai cabaran tersendiri, tetapi beliau yakin terhadap kemampuan mereka serta pendekatan yang sesuai membolehkan kemahiran tersebut berkembang.
Beliau turut mengongsikan bahawa anak keduanya, iaitu Awang Raiyyan, tidak begitu lancar bertutur dan mempunyai banyak masalah sensori, mampu menyediakan hidangan lasagna dengan menggunakan kaedah pengajaran khusus serta buku resipi visual buatan sendiri bagi membantunya memahami setiap langkah.
Sementara itu, anak bongsunya, Awang Harris, yang baru menamatkan kursus kulinari di Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), semakin berminat dalam bidang masakan.
Beberapa malam lalu, anak bongsunya itu menyediakan makan malam ayam bakar peri-peri bersama kentang, lobak merah dan bawang merah yang dipanggang sempurna dalam rempah yang kaya aroma, tanpa lagi memerlukan arahan langkah demi langkah atau tunjuk ajar berterusan.
Dayang Norhaslinda berkata minat memasak telah dipupuk sejak anak sulungnya, iaitu Awang Danial, dan adik-adiknya masih kecil, dan kini mereka mampu menguruskan penyediaan hidangan sendiri.
“Mereka kata anak autisme tidak boleh tetapi saya kata mereka boleh, apabila kita percaya pada mereka,” ujarnya, sambil menegaskan pentingnya mengandaikan kebolehan mereka sejak awal.
Beliau juga menekankan bahawa pencapaian akademik semata-mata tidak sepatutnya menjadi ukuran tunggal kejayaan anak-anak autisme.
“Kemahiran hidup seperti memasak, menjaga diri dan mengurus rutin harian adalah asas bagi membina hidup berdikari dan maruah diri. Inilah cara kami mempersiapkan mereka untuk hidup dan berjaya. Bukan dengan mengejar kesempurnaan, tetapi membina kehidupan satu kemahiran pada satu masa,” tambahnya.



